
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan Nasional langsung tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam pertemuan peribadi dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam mesyuarat PH, serta beberapa pertemuan lain.
“Setakat ini tidak ada asas untuk melayani tohmahan sedemikian. Secara peribadi, saya tidak pernah dengar tidak kiralah dalam mesyuarat PH, termasuk dengan pemimpin PPBM lain, langsung tidak pernah dengar.
“Itu hanyalah propaganda untuk menyakinkan rakyat, tetapi tidak ada pimpinan PH yang memperakui perkara ini,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pro 98′ Reformis di Senawang, Negeri Sembilan.
Pada Isnin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam membidas Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya mahu bekerjasama dengan Mahathir kerana mengikut PAS “supaya tidak ketinggalan” dan supaya Umno tidak diharamkan.
Sebelum ini, FMT memetik sumber melaporkan pengaturan semula lanskap politik Malaysia secara besar-besaran, yang boleh mengangkat PAS ke kuasa persekutuan, mungkin sedang dirancang berikutan kemerosotan sokongan kepada pentadbiran PH.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam kenyataan hari ini menyeru partinya “fikir masak-masak” sebelum terima “lamaran”.
Presiden PAS ketika ditanya adakah PAS menyokong cadangan penubuhan Pakatan Nasional, Abdul Hadi Awang secara ringkas menjawab: “Itu pakatan kita menyokong, dasar kita menyokong.”
Anwar bagaimanapun berkata, adalah lebih baik sekiranya parti pembangkang membuktikan kemampuan mereka pada pilihan raya umum akan datang untuk memenangi 2/3 atau majoriti kerusi di Parlimen.
“Menanglah pilihan raya dulu, kalau pilihan raya pada 2018 memang ditonjolkan calon perdana menteri adalah Mahathir dan calon perdana menteri seterusnya adalah Anwar.
“Mandatnya memang begitu, maka tidak boleh ‘hijack’ kerana itulah diterangkan pada rakyat. Ini apabila sudah kalah teruk, baru hendak cuba runding,” katanya.
Anwar bagaimanapun menafikan tuduhan yang mengaitkan pemimpin PH hanya berdiam diri sewaktu mengadakan perbincangan dengan Mahathir dan langsung tidak pernah membangkitkan isu mengenai peralihan kuasa.
“Dari segi perbincangan, dari segi dasar PH, transisi peralihan kuasa memang ada dibincangkan. Jadi tidak benar pemimpik PH hanya menikus dan tidak berani bersuara dalam hal ini,” katanya.