Mufti perlu bincang cadangan seragam undang-undang syariah, kata Anwar

Mufti perlu bincang cadangan seragam undang-undang syariah, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata, sesetengah aspek undang-undang syariah perlu ditafsir secara neutral.

Anwar Ibrahim berkata, mufti perlu menunjukkan banyak pemahaman terhadap realiti sebenar.
SHAH ALAM:
Anwar Ibrahim mencadangkan mufti daripada semua negeri membincangkan penyeragaman undang-undang syariah selepas seorang bekas mufti menggesa pihak berkuasa mengamalkan sistem mahkamah tunggal dengan undang-undang Islam seragam.

Presiden PKR itu berkata, terdapat kewajaran dalam cadangan itu, tetapi beliau menekankan sesetengah aspek undang-undang syariah perlu ditafsir secara neutral.

“Mereka perlu menunjukkan banyak pemahaman terhadap realiti sebenar,” katanya di luar Persidangan Serantau 2020 mengenai Kewujudan Bersama Keamanan di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas mufti Terengganu, Ismail Yahya dilaporkan berkata, umat Islam di Malaysia tidak dilayan secara adil kerana undang-undang syariah tidak seragam antara negeri.

Beliau yang juga bekas ketua hakim syariah di Terengganu berkata, kempen menghentikan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam gagal kerana beberapa negeri mempunyai kuasa membenarkan gadis semuda 16 tahun berkahwin.

Tetapi, katanya, terdapat kisah kejayaan pemusatan perkara berkaitan Islam, contohnya Tabung Haji dan perbankan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.