Kes rasuah Tengku Adnan didengar hakim baru

Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor didengar hakim Mahkamah Tinggi yang baru.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Feb lepas yang membenarkan rayuan Tengku Adnan, 69, agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah lain.

Hari ini semasa pengurusan kes itu, Nazlan berkata beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 4 (Hakim Muhammad Jamil Hussin),” katanya.

Semasa prosiding di hadapan Jamil, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu mahkamah pihaknya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Mohon satu tarikh sebutan ditetapkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan serta penangguhan perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai,” katanya.

Jamil membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes.

Setakat ini 2 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu di depan Nazlan.

Tengku Adnan merayu terhadap keputusan Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memohon Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya kerana hakim itu membaca dan mempertimbangkan fakta kes Tan yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Tan) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.