3 cebisan kaki kanak-kanak ditemui digonggong anjing

Polis menemui 3 tapak kaki tanpa anggota badan lain, di belakang bengkel lori di Pelabuhan Sepanggar. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Tiga cebisan kaki bersaiz kanak-kanak berusia 2 hingga 3 tahun, ditemui di belakang sebuah bengkel di Pelabuhan Sepanggar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata perkara itu disedari seorang pekerja bengkel tersebut, apabila ternampak beberapa ekor anjing sedang bermain, sambil menggigit kaki-kaki yang mereput, sekitar 6 petang tadi.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, sepasukan anggota yang menjalankan pemeriksaan, menemui 3 tapak kaki tanpa anggota badan lain, di bahagian belakang sebuah bengkel lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, pada tapak kaki tersebut tiada kesan kena potong dan hanya ada kesan gigitan yang dipercayai gigitan binatang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penemuan tapak kaki itu, juga tidak menemui sebarang anggota badan yang lain.

“Ia menjadi tanda tanya, sama ada ia milik kanak-kanak hilang atau kanak-kanak yang dikebumikan sebelum ini, yang dikhuatiri digali oleh anjing sebelum membawa tapak kaki itu ke kawasan berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan dibantu pasukan Forensik, termasuk anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang tinggal lokasi berhampiran yang ada kehilangan anak atau sebelum ini pernah mengebumikan kanak-kanak mereka, supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Polis akan melakukan siasatan daripada semua aspek, bagi mengenal pasti identiti pemilik tapak kaki itu,” tambahnya.