Anwar dakwa ada sokongan mencukupi

Anwar dakwa ada sokongan mencukupi

Kerajaan PH tumbang Isnin selepas PPBM dan 10 ahli Parlimen PKR keluar parti dan pakatan itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim malam tadi mendakwa beliau masih mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menghidupkan semula kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi menerusi akaun Twitter @anwaribrahim, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ahli Parlimen yang berikrar untuk menyokong beliau telah berbuat demikian secara individu, merujuk kepada temu bual 4 mata Yang di-Pertuan Agong dengan ahli Parlimen untuk mengetahui pilihan mereka sebagai perdana menteri bagi menamatkan krisis politik semasa yang melanda negara.

“Saya tahu sesetengah ahli Parlimen di pihak ‘sebelah sana’ tidak gembira kerana pemimpin parti mereka merampas suara mereka,” katanya.

Anwar kemudian mengakhiri hantaran itu dengan: “Marilah kita jayakan proses demokratik ini. Insyaallah.”

Terdahulu, ketika memberikan maklum balas kepada Istana Negara yang meminta parti politik menamakan calon mereka untuk jawatan perdana menteri, PPBM, Barisan Nasional dan PAS mengumumkan pilihan mereka ialah presiden PPBM Muhyiddin Yassin.

Kerajaan PH yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah, tumbang pada Isnin selepas PPBM dan 10 ahli Parlimen PKR keluar parti dan pakatan itu.

Susulan itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri, namun dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.