Lantikan Muhyiddin letak jawatan sebahagian ‘proses’, kata Awang Hashim

Lantikan Muhyiddin letak jawatan sebahagian ‘proses’, kata Awang Hashim

AJK PAS Pusat, Awang Hashim tepis anggapan PN berpecah susulan perletakan jawatan individu-individu berkenaan.

AJK PAS Pusat Awang Hashim berkata penstrukturan semula perkara biasa dalam organisasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peletakan jawatan individu-individu dilantik Muhyiddin Yassin dalam barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) adalah sebahagian ‘proses’ biasa dalam sesuatu organisasi dalam memperkukuh gabungan itu, kata pemimpin PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim, menepis anggapan bahawa PN berpecah susulan peletakan jawatan individu-individu berkenaan.

“Mereka rasa bila pengerusi letak jawatan, mereka perlu bersama sebab mereka dilantik. Isu yang berlaku proses perkukuh parti, bukan membawa maksud PN semakin berpecah,” katanya kepada FMT.

Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha agung PN, begitu juga Sahruddin Jamal, Ahmad Faizal Azumu, dan Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai pengerusi PN Johor, Perak, dan Negeri Sembilan, ketika berita ini ditulis.

Mereka menyusuli langkah Muhyiddin, berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Menurut Awang, hubungan antara Ahli Parlimen PAS dan Bersatu ‘cukup rapat’, di sebalik ‘masalah struktur organisasi’ yang mereka serahkan kepada pimpinan PN untuk diselesaikan.

“Isu berlaku untuk struktur semula PN supaya lebih mantap,” katanya.

Ditanya tentang gesaan Pemuda PAS Selangor supaya menilai semula kerjasama politik bersama Bersatu, Awang Hashim berkata PAS tidak ada membincangkan tentang memutuskan hubungan, ‘setakat hari ini’.

“PAS terus komited dengan PN. Cuma kita nak stukturkan semula PN. Itu perkara biasa dalam organisasi. Dalam mana-mana organisasi masalah tetap ada cuma kebijaksanaan pemimpin menghadapinya dan menyelesaikan masalah itu yang penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.