
Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu tidak dikeluarkan oleh pihaknya dan masjid berkenaan tidak pun ditutup dan malah diarah terus dibuka.
“Apa-apa keputusan akan dibuat selepas Jais membuat semua pertimbangan, saya telah arahkan masjid terus melakukan solat fardhu 5 waktu dengan menetapkan langkah kawalan lebih ketat dan pembersihan permis perlu dilakukan segera dengan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penutupan masjid berkenaan yang tular di media sosial.
Mohd Shahzihan berkata, pihak masjid juga diminta memaklumkan kepada jemaah agar mereka yang dikenal pasti positif atau sedang menunggu keputusan dan semua yang ada kontak dengan mereka yang dijangkiti Covid-19 untuk melakukan kuarantin di rumah masing-masing mengikut arahan Kementerian Kesihatan.
Terdahulu, sebuah media tempatan menerusi laman webnya melaporkan masjid berkenaan ditutup buat sementara waktu hari ini selepas seorang jemaahnya positif Covid-19 selepas pulang daripada bercuti di Vietnam.