Polis KK beri amaran tahan individu ingkar perintah kawalan pergerakan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji (dua dari kiri) dan anggotanya menghentikan sebuah kereta di sekatan jalan malam tadi.

KOTA KINABALU: Polis menggandakan rondaan harian dan mengadakan sekatan jalan tambahan di bandar ini untuk memastikan rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji turut memberi amaran anggotanya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk menahan mereka yang terus mengabaikan amaran tidak keluar rumah.

Katanya, rondaan dilakukan kereta peronda polis (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) dengan bantuan anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau berkata, beberapa premis perniagaan yang didapati meneruskan operasi sudah diminta menutup kedai.

“Usaha ini akan dipertingkatkan,” katanya sambil menambah kebanyakan peniaga mematuhi nasihat polis dengan menutup premis mereka.

Habibi berkata, sekatan jalan dilakukan untuk menasihatkan orang ramai balik ke rumah dan tidak mengambil kesempatan daripada arahan “keluar rumah tanpa tujuan”.

“Setakat ini, polis hanya memberikan nasihat, tetapi jika rakyat masih degil, kami akan mengeluarkan amaran. Jika mereka terus abai amaran itu, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik seperti membuat tangkapan,” katanya kepada wartawan malam tadi.

“Kami mempunyai 9 balai polis di daerah Kota Kinabalu yang akan memantau situasi sehingga kami yakin masyarakat mematuhi perintah kawalan pergerakan.”

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan berita palsu di media sosial dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang mencetuskan panik atau mengganggu ketenteraman awam dengan menyebarkan maklumat tidak sah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam.