
Penahanan mereka berlaku serentak dengan laporan bahawa Sabah mencatatkan 22 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 158 kes.
Ketua Polis Tawau Peter Ambuas mengesahkan penahanan 12 anggota tabligh dari Tawau yang dijadualkan menghadiri satu himpunan antarabangsa di Sulawesi, Indonesia sebelum ia dibatalkan.
Mereka dilaporkan cuba memasuki perairan Sabah di luar pesisir Tawau dengan menggunakan sebuah bot, tetapi bertembung dengan pasukan rondaan bersama polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pasukan bersenjata kira-kira jam 3.20 petang.
Pihak berkuasa dimaklumkan tentang perjalanan pulang kumpulan itu pada sebelah pagi selepas mereka sampai dari Sulawesi di Sungai Pancang di Pulau Sebatik, Indonesia.
Mereka dibawa ke Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin Tawau sebelum diserahkan kepada kakitangan Majlis Keselamatan Negara.

Difahamkan 12 individu itu dikuarantin di kampus Institut Pendidikan Guru Tawau.
Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan bahawa semua individu yang pulang dari Sulawesi tidak dibenarkan memasuki Sabah.
Terdapat 40 kes jangkitan Covid-19 di Tawau, Lahad Datu (33), Kota Kinabalu (22), Kinabatangan dan Sandakan masing-masing (11), Putatan dan Sipitang (4), Kunak dan Kota Belud (5) Papar dan Ranau (2), Semporna (1), Beaufort (6) dan Tuaran (12).