Pakej rangsangan prihatin rakyat ‘bawah jangkaan’, kata persatuan hotel

Krisis Covid-19 mengakibatkan 2,041 pekerja industri hotel diberhentikan, 9,773 diberi cuti tanpa gaji dan 5,054 lagi mengambil potongan gaji.

PETALING JAYA: Pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion untuk mengurangkan impak Covid-19 adalah di bawah jangkaan, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Presiden MAH, Kamaruddin Baharin berkata jumlah itu termasuk subsidi gaji RM600 sebulan selama 3 bulan untuk pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Industri hotel, katanya, mencadangkan bantuan minimum RM1,000 setiap pekerja, atau sekurang-kurangnya 50% daripada gaji bulanan pekerja, untuk tempoh 6 bulan.

Ini, katanya, sebagai tindak balas kepada kadar penghunian yang lebih rendah yang dijangka untuk beberapa bulan akan datang akibat pandemik itu.

Kamaruddin berkata jumlah yang ditawarkan “bawah” daripada yang diharapkan industri.

“Kami melihat kadar purata penghunian untuk Malaysia tidak lebih daripada 25% menjelang Jun dan jika perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April dan wabak itu terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemulihan, katanya, tidak dijangkakan sehingga suku ke-3, dengan industri tidak meletakkan sebarang harapan menjelang percutian pada akhir tahun untuk menampung kerugian yang dialami pada suku pertama tahun ini.

Kamaruddin berkata MAH menyeru supaya bank mengetepikan faedah di atas moratorium dan mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan.

Tetapi kedua-duanya, katanya, tidak termasuk dalam pakej bantuan RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sebaliknya, majikan digalakkan berunding dengan KWSP mengenai penyusunan semula, penjadualan semula atau penangguhan caruman dari 15 April dan seterusnya.

“Peruntukan RM250 bilion menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat memang sangat menarik. Tetapi industri yang terjejas secara langsung akibat wabak Covid-19 memerlukan lebih lagi,” katanya.

Sementara Kamaruddin mengalu-alukan kenaikan diskaun pelbagai peringkat untuk penggunaan elektrik, kerajaan persekutuan mesti memastikan inisiatif yang sama diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, di mana tenaga diuruskan secara berasingan dan bukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kamaruddin mendedahkan setakat ini, 2,041 pekerja dalam industri hotel diberhentikan kerana tekanan ekonomi dan PKP yang dilanjutkan.

Kira-kira 9,773 lagi kakitangan diberi cuti tanpa gaji dan 5,054 mengambil potongan gaji.

MAH, katanya, menjangkakan angka itu akan bertambah “beberapa bulan akan datang”.

Pakej rangsangan terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi, selain RM20 bilion dalam pakej terdahulu.

Muhyiddin juga mengumumkan penangguhan cukai 6 bulan bagi sektor pelancongan.