Bersedia hadapi pembuangan kerja lepas Aidilfitri, kata persekutuan majikan

Persekutuan Majikan Malaysia berkata, lebih banyak pekerjaan akan hilang sewaktu syarikat terus hadapi kesan ekonomi wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Persekutuan terbesar majikan di negara ini mengingatkan bahawa gelombang pembuangan kerja akan berlaku sewaktu syarikat terus bergelut dengan kesan ekonomi wabak Covid-19.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, pembuangan kerja akan berlaku selepas Hari Raya kerana majikan akan berusaha mengekalkan pekerja masing-masing sehingga itu.

“Bahang itu akan berlaku selepas sambutan Hari Raya,” kata pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada FMT.

Beliau berkata, MEF menjangka lebih 2 juta akan kehilangan pekerjaan, termasuk lepasan baru universiti dan 610,000 yang menganggur sebelum Mac tahun ini.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat majikan yang meminjam wang atau menggunakan simpanan bagi membayar gaji pekerja.

“Kita perlu realistik. Kita perlukan undang-undang baru bagi membantu majikan tangani kos overhed,” katanya.

Beliau memberi contoh sumbangan majikan kepada caruman Kumpulan Wang Simpadan Pekerja (KWSP) yang sebelum ini disyorkan supaya dikurangkan daripada 11% kepada 5%.

Beliau juga mencadangkan kadar siling tetap bagi potongan gaji dan waktu kerja anjal sebagai suatu bentuk kompromi dengan kesatuan sekerja yang menolak pengurangan gaji dan waktu bekerja.

Katanya, ia selaras dengan keperluan menerima “normal baru” pasca Covid-19, dengan menambah bahawa beban bagi memastikan overhed rendah dan kakitangan terus bekerja perlu dipikul semua pihak.

Berhubung langkah kerajaan memastikan rakyat tempatan diambil bekerja di tempat-tempat seperti pasar borong Selayang di Kuala Lumpur patut dipuji kerana ia dapat membersihkan tempat tumpuan warga asing di pusat bandar raya.

Katanya, pasar itu kini lebih bersih dan menarik kepada rakyat tempatan.

“Rasanya lebih selamat juga,” katanya selain menambah bahawa terdapat kira-kira 1,500 kekosongan yang boleh diisi oleh orang tempatan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Beliau juga mengakui bahawa kos menggaji warga tempatan lebih tinggi, tetapi ia boleh menjimatkan wang majikan dalam tempoh panjang kerana tidak perlu membayar levi dan kos dokumen undang-undang.

Peniaga di pasar basah membayar kira-kira RM100 sehari kepada pekerja.

Beliau berkata, warga tempatan lebih cenderung untuk membuka kedai di pusat bandar sekarang, selain menambah bahawa mereka menghindari kawasan terbabit selama ini susulan kebimbangan mengenai pertambahan angka pekerja asing di situ.