
Katanya, sebanyak 1,613 kenderaan cuba merentas negeri diarah berpatah balik semalam berbanding 2,539 kenderaan pada hari sebelumnya.
Beliau berkata, Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 329 kenderaan, diikuti Kedah (211) dan Pulau Pinang (196).
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.
Beliau berkata, polis menahan 39 individu dan 18 lagi direman kerana melanggar prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) semalam.
Katanya, kompaun turut dikeluarkan kepada 21 individu yang melanggar SOP PKPB.
Pelajar terkandas di kampus
Ismail berkata, kerajaan bersetuju mempercepatkan proses penghantaran pulang pelajar di kampus pada 26 Mei berbanding 28 Mei.
Beliau berkata, seramai 1,480 pelajar dijadualkan pulang pada 26 Mei ini membabitkan 4 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu yang membawa 1,148 pelajar.
“Turut dijadualkan 2 penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur yang membawa pulang 332 pelajar.
“Pelajar yang akan dihantar pulang selepas 26 Mei telah menjalani saringan kesihatan seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.