Misteri 2 kereta terbiar di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing terjawab, milik penumpang MH370!

Kereta Porsche yang ditinggalkan lebih 6 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing adalah milik penumpang MH370. (Gambar Twitter)

Menjadi tanda tanya apabila terdapat 2 buah kereta di tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, yang ditinggal agak lama sehingga berdebu tebal.

Berdasarkan pemerhatian pihak pengurusan lapangan terbang itu, kereta Porsche dan Lexus itu ditinggalkan di sana sudah lebih 6 tahun.

Malah kedua-dua kereta ini merupakan kereta mewah dengan harga pasaran di China melebihi satu juta yuan.

Menurut sebuah laman web China vansky.com yang membuat kiraan berdasarkan bayaran 5 yuan sejam, yuran parkir kereta tersebut kini melebihi 80,000 yuan dalam 6 tahun.

Sehubungan itu ia membuatkan mereka yang keluar masuk di kawasan tempat letak kereta tersebut ingin mengetahui apa yang beraku di sebalik kereta misteri itu.

Dan hasil pemeriksaan dan berdasarkan maklumat nombor plat daripada kereta berkenaan, akhirnya persoalan terjawab.

Kedua-dua pemilik kereta ini merupakan penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurut vansky.com, mereka dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur dan sekiranya tidak berlaku tragedi malang kehilangan pesawat itu, mereka sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac 2014 yang lalu.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang lebih 6 tahun lalu bersama-sama penumpang dan kru penerbangan, dan sehingga kini bangkai pesawat itu masih belum ditemui.

Menurut laporan media China, ahli keluarga pemilik kereta tersebut sengaja tidak mengeluarkan kenderaan itu daripada tempat letak kereta.

Ini kerana mereka percaya dan menaruh harapan suatu hari nanti, pemilik kenderaan itu pasti akan kembali juga ke pangkuan keluarga.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]