Perancis larang polis guna kuncian leher selepas tunjuk perasaan melarat

Polis bertindak terhadap mercun yang dilancarkan penunjuk perasaan terhadap mereka pada Sabtu. (Gambar AP)

PARIS: Perancis semalam berkata ia akan mengharamkan penggunaan kuncian leher untuk menahan suspek selepas kematian George Floyd dalam tahanan di Amerika Syarikat meruncingkan lagi kemarahan terhadap kelakuan polis Perancis.

Gelombang tunjuk perasaan di serata dunia yang menyusuli tangkapan Floyd yang membawa kepada kematiannya menyorot perhatian kepada kematian Adam Traore, 24, dalam tahanan polis Perancis, menghidupkan kembali kontroversi mengenai dakwaan rasisme dan keganasan dalam pasukan polis.

Pemantau polis Perancis berkata ia menerima hampir 1,500 aduan terhadap anggotanya tahun lepas – separuh daripadanya dakwaan keganasan.

Selepas beberapa tunjuk perasaan mutakhir ini, Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner mengumumkan kaedah kuncian leher tidak lagi akan diamalkan.

“Ia tidak akan diajar di pusat latihan polis dan polis tentera. Kaedah ini ada bahayanya,” katanya pada sidang media.

Castaner menunjukkan aksi pada sidang media mengumumkan pengharaman kuncian leher semalam. (Gambar AP)

Castaner menambah tiada tolak ansor terhadap rasisme dalam penguatkuasaan undang-undang dan anggota yang disyaki rasis akan digantung.

Beliau berkata terlalu ramai anggota gagal melaksanakan amanah mereka dalam beberapa minggu kebekalangan ini, dengan pendedahan kenyataan berbaur rasis dan diskriminasi.

“Kecam sahaja tidak memadai,” kata Castaner.

“Kita harus kesan dan basmi.”

‘Polis tak rasis’

Kesatuan polis bagaimanapun mempersoalkan perubahan itu.

Philippe Capon dari kesatuan Unsa-Police berkata ia memberikan gambaran seolah “semua orang baik kecuali polis”.

Frederic Lagache dari Alliance Union bimbang polis akan terpaksa bergelut atau menggunakan perenjat.

Pada Isnin, Presiden emmanuel Macron menggesa kerajaannya mempercepatkan langkah memperbaiki etika polis.

Bekas perdana menteri Manuel Valls berkata “polis tak rasis’ tetapi rasisme, anti-Semitisme, dan keganasan tertanam dalam masyarakat dan pasukan keselamatan “malangnya tidak terlepas daripada fenomena itu”.