Siasatan SPRM bermotifkan politik, kata pemimpin Warisan

Peter Anthony (tengah) muncul selepas 7 jam disoal siasat di pejabat SPRM di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony mendakwa soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya hari ini bermotifkan politik oleh parti lawan.

Naib presiden Warisan itu disoal siasat selama 7 jam di pejabat SPRM di sini sejak 10.30 pagi tadi.

Katanya, keterangan yang diberikannya berhubung dakwaan rasuah membabitkan pemberian beberapa projek konsesi jalan berjuta ringgit oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Ia adalah keterangan biasa kepada SPRM, tiada kes dan bukan perkara besar. Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan.

“Sebenarnya, konsesi jalan itu diberikan kerajaan terdahulu. Kontraktor dilantik tidak menunjukkan prestasi, jadi kami membangkitkan isu itu untuk penambahbaikan.

“Saya rasa (ia bermotifkan politik) kerana kita tidak bersama kerajaan persekutuan sekarang.”

Adun Melalap itu berkata, SPRM memanggilnya untuk disoal siasat selepas menerima aduan orang ramai berhubung rasuah membabitkan konsesi jalan itu.

Katanya, beliau memberi kerjasama kepada pegawai SPRM yang disifatkannya bertindak secara profesional.

“Jika mereka panggil saya lagi, tiada masalah. Sebagai penjawat awam dan menteri, saya bersedia bila-bila masa.

“Mungkin satu lagi (pertemuan dengan SPRM) esok, tetapi terpulang kepada mereka. Saya tidak akan melarikan diri.”