‘Face mask’ vs ‘face shield’ yang mana lebih sesuai untuk anak?

Bagi kanak-kanak berumur bawah 5 tahun memakai topeng sepanjang berada di dalam kelas tidak digalakkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan.

Penggunaan topeng hidung dan mulut bagi kanak-kanak berumur bawah 5 tahun sepanjang berada di dalam kelas tidak digalakkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan.

Itu yang ditekankan Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Dr Amar Singh malah katanya kanak-kanak pada peringkat usia tersebut, terutama yang percakapannya belum lancar atau mempunyai masalah kesihatan seperti asma, mungkin berdepan kesukaran jika memakai pelitup separuh muka untuk tempoh yang lama.

“Mereka ini mungkin boleh pakai untuk sementara sahaja.

“Kanak-kanak yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung kita tidak cadangkan pakai pelitup separuh muka untuk tempoh lama kerana bimbang mereka akan sesak nafas. Lebih membimbangkan kalau yang belum pandai bercakap (untuk beritahu masalah),” katanya memetik laporan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peraturan beberapa tabika serta tadika yang mewajibkan semua murid memakai topeng sepanjang sesi pembelajaran apabila persekolahan bermula selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah menurut Dr Amar Singh yang juga Penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC), kanak-kanak yang boleh memahami dan mengikut arahan, pemakaian pelindung muka atau “face shield” mungkin lebih sesuai.

(Gambar AP)

“Tapi ini (pelindung muka) tidak begitu bagus berbanding pelitup separuh muka, tapi ia tidak mengganggu, senang nak bernafas dan guru boleh tengok muka kanak-kanak itu,” katanya sambil menambah guru juga perlu setiap masa memakai alat itu bagi mengelak titisan air liur terkena pelajar.

Mengulas mengenai pemakaian cecair hand sanitizer, Dr Amar Singh berkata tiada masalah untuk kanak-kanak menggunakan cecair itu walaupun mengandungi alkohol kerana produk tersebut antara pilihan berkesan untuk menyahaktifkan bakteria serta virus termasuk Covid-19 selain membasuh tangan menggunakan air dan sabun.

“Ada ibu bapa bimbang untuk gunakan hand sanitizer mengandungi alkohol kepada anak mereka, sebenarnya tiada masalah. Tetapi, jika tanpa alkohol itu sebenarnya tidak menjamin dapat membunuh kuman, bakteria atau virus,” katanya.

Pengguna disaran menggunakan hand sanitizer yang mengandungi kadar alkohol 60% hingga 80% untuk membasmi kuman.

Manakala peratusan lebih tinggi kurang sesuai kerana sifat bahan itu yang cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]