Bekas exco Pulau Pinang persoal nasib nelayan susulan projek 3 pulau

Nelayan membantah projek tebus guna tanah bagi membina 3 pulau buatan di Pulau Pinang tahun lepas.

GEORGE TOWN: Bekas exco Pulau Pinang, Afif Bahardin hari ini berkata, beliau kecewa dan bimbang susulan langkah kerajaan negeri menandatangani perjanjian projek 3 pulau buatan di negeri itu tanpa mempedulikan tuntutan pampasan dan kebajikan nelayan.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak berwajib, kerajaan negeri dan rakan pelaksana projek (PDP) perlu memastikan Pelan Pengurusan Impak Sosial yang merangkumi pakej nelayan seperti ex-gratia, pembinaan jeti dan peluang pekerjaan kepada komuniti yang terkesan dilaksanakan sepanjang pembinaan projek mega itu.

“Malangnya, sebelum dan selepas perjanjian kerajaan negeri dimeterai semalam, saya tidak maklum dan tidak langsung melihat sebarang pengumuman daripada kerajaan untuk mengemukakan apa-apa Pelan Pengurusan Impak Sosial yang holistik bagi membantu golongan nelayan dan rakyat tempatan yang terkesan langsung daripada projek ini.

“Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi penjelasan mengenai isu ini kerana walaupun saya telah meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas exco Afif Bahardin.

Afif berkata, ketika menjadi pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, beliau banyak melakukan pertemuan dengan persatuan dan unit nelayan di semua kawasan yang terkesan dengan projek itu.

Beliau mendakwa, Jawatankuasa Taskforce Nelayan di bawah kepimpinan exco baru tidak lagi aktif dan tidak meneruskan usaha berkenaan, malah terbukti tidak ada komponen pakej kesan impak sosial dimasukkan dalam perjanjian yang termeterai baru-baru ini.

“Mereka ternyata amat bimbang pelaksanaan projek ini yang memberi impak kuat kepada aktiviti perikanan di kawasan seperti di Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul yang akhirnya menjejaskan sumber pendapatan mereka.”

Pada Rabu, kerajaan negeri menandatangani perjanjian induk dengan SRS Consortium, rakan pelaksana projek (PDP), untuk secara rasmi meneruskan 3 projek pulau buatan yang dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR), bersama 2 lebuh raya dan projek transit kereta api aliran ringan.

PSR, atau projek 3 pulau, akan mengebus guna tanah seluas 1.821 hektar dan kemudian akan dijual kepada pembida tertinggi.

November lalu, kira-kira 5,000 nelayan Pulau Pinang menggantung jaring mereka untuk memprotes projek itu kerana ia umpama menuang pasir ke dalam periuk nasi mereka.

Nelayan mendakwa projek itu akan menjejaskan kehidupan laut dalam jangka panjang dan mempengaruhi kehidupan mereka.

Penyokong projek PSR mendapati dalam tinjauan tahun lalu, 94.5% nelayan di selatan pulau itu menentang pembinaan 3 pulau tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan merangkumi kawasan Bayan Lepas yang lebih besar dan responden, termasuk anggota komuniti perniagaan dalam radius 6 km dari pulau ke-3 tersebut.

Ahli perniagaan memberikan sokongan yang luar biasa untuk PSR, dengan kebanyakan mengatakan ia akan meningkatkan ekonomi.

Pemilik projek, kerajaan Pulau Pinang, berjanji untuk mempertimbangkan semua kebajikan nelayan.

FMT telah menghubungi pejabat ketua menteri untuk mendapatkan komen.