2 ditahan disyaki perlekeh Jumaat sebagai Hari Jawi

Dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan di Tanjung Rambutan, Perak serta Butterworth, Pulau Pinang sejak semalam.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 2 lelaki yang disyaki membuat komen memperlekehkan pengumuman kerajaan menjadikan Jumaat sebagai Hari Jawi menerusi media sosial.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata 2 lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu masing-masing ditahan di Tanjung Rambutan, Perak dan Butterworth, Pulau Pinang sejak semalam.

Katanya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kedua-dua mereka ini ditahan dan direman kerana memuat naik kenyataan di laman sosial berhubung Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Seorang lagi individu yang berkaitan kes ini sedang dicari bagi membantu siasatan dan polis sudah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Ahad lalu, satu kertas siasatan dibuka selepas laporan polis dibuat di Kluang, Johor berhubung komen netizen memperlekeh Jumaat sebagai Hari Jawi.

Pada 10 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, polis akan mendapatkan pendapat pakar sejarah berhubung buku dikaitkan dengan dakwaan penghinaan terhadap jata negara bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati ada beberapa artikel dalam buku itu berunsur hasutan dan kita akan mendapatkan pakar sejarah tempatan dalam masa terdekat.”

Beliau berkata, 8 penulis buku itu dipanggil memberi keterangan semalam dan kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya minggu depan untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pereka gambar dan penerbit buku sudah hadir memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Pada 30 Jun lalu, polis menyerbu sebuah syarikat percetakan di Petaling Jaya dan merampas 313 naskhah buku didakwa menghina jata negara.

Setakat ini, polis menerima 203 laporan berhubung kes itu dan 4 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.