Covid-19 kini bunuh 1 pesakit setiap 15 saat di seluruh dunia

Individu disahkan positif Covid-19 dipindahkan ke khemah yang didirikan di luar Hospital Sosial Seguro di Quito, Ecuador untuk meneruskan rawatan mereka minggu lalu. (Gambar AP)

CHICAGO: Angka kematian Covid-19 di seluruh dunia melepasi 700,000 kes pada Rabu, menurut pengiraan Reuters, dengan Amerika Syarikat, Brazil, India dan Mexico mendahului peningkatan dalam jumlah kematian.

Secara purata, hampir 5,900 orang meninggal dunia akibat virus itu setiap hari, demikian pengiraan Reuters berdasarkan data sejak 2 minggu lepas.

Jumlah itu menyamai 247 kematian sejam atau seorang pesakit setiap 15 saat.

Presiden Donald Trump berkata, penularan pandemik itu terkawal di AS, selepas virus itu meragut lebih 155,000 nyawa.

“Mereka hampir mati, itu benar,” kata Trump dalam wawancara dengan laman berita Axios.

“Inilah hakikatnya. Tetapi, ia tidak bermakna kita tidak melakukan semua yang kita mampu. Ia terkawal berdasarkan kemampuan anda. Ini adalah wabak yang mengerikan.”

Di Brazil, Presiden Jair Bolsonaro meminimumkan tekanan pandemik dan menentang pelaksanaan perintah berkurung, walaupun beliau dan beberapa anggota Kabinetnya disahkan positif Covid-19.

Pandemik itu pada awalnya lebih lambat merebak ke Amerika Latin, yang mempunyai populasi kira-kira 640 juta penduduk.

Namun, pihak berkuasa bergelut mengawal penularannya akibat kemiskinan dan kepadatan penduduk di kota.

Menurut Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, lebih 100 juta orang di seluruh Amerika Latin dan Caribbean tinggal di kawasan miskin.

Ramai yang terpaksa bekerja di sektor tidak formal dengan sedikit jaringan keselamatan sosial dan terus bekerja ketika penularan pandemik.

Negara yang dilihat berjaya mengekang penularan Covid-19, baru-baru ini mencatatkan rekod untuk kes baru harian, menandakan pertarungan menentang virus itu belum berakhir.

Australia, Jepun, Hong Kong, Bolivia, Sudan, Ethiopia, Bulgaria, Belgium, Uzbekistan dan Israel baru-baru ini mencatatkan peningkatan banyak kes baru.

Australia turut melaporkan rekod terbaru 15 kematian pada Rabu, menjadikan keseluruhannya 247 kematian di negara itu setakat ini.