PH tak tubuh RCI TH elak pendeposit lari, lancar pemulihan, kata Mujahid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa berkata, ketika dilantik ke jawatan itu pada Mei 2018 beliau terlebih dulu meneliti laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengesahkan berlaku defisit RM4.1 bilion pada 2017.

PETALING JAYA: Mujahid Yusof Rawa menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan manifestonya untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan pengurusan Tabung Haji (TH) terdahulu kerana ingin memastikan pelan pemulihan agensi itu berjalan lancar.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama itu berkata, ketika dilantik ke jawatan berkenaan pada Mei 2018 beliau terlebih dulu meneliti laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengesahkan berlaku defisit RM4.1 bilion pada 2017.

“Saya kemudian mendapat penilaian ke-2 daripada PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mengesahkan memang berlaku defisit yang semakin membengkak kepada RM10 bilion pada penghujung Disember.

“Kalau buat RCI apa jadi dengan pendeposit? Mereka akan lari dan panik. Kita tidak boleh buat mereka panik ketika kita sedang laksanakan proses pemulihan,” katanya pada dialog berani bersemuka yang turut membabitkan bekas pengerusi TH, Abdul Azeez Rahim anjuran Sinar Harian malam ini.

Program itu dihoskan tokoh wartawan negara, Johan Jaaffar.

Beliau menjawab tuduhan dan pertikaian oleh segelintir pihak mengenai kegagalan kerajaan PH menunaikan manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antaranya menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan pengurusan TH.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar turut menjelaskan laporan kewangan TH 2019 yang didakwa gagal diumumkan pihaknya sepatutnya boleh dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini tetapi tidak menjadi kenyataan selepas kejatuhan kerajaan PH.

“Kami tidak boleh bentang, suruhlah menteri sekarang bentang. Ia sudah diaudit dan tidak ada sebab ia tidak boleh dibentangkan,” katanya.

Sementara itu, Azeez yang juga ahli Parlimen Baling ketika sesi dialog itu terus menyuarakan cadangannya supaya RCI bagi menyiasat salah laku pengurusan TH terdahulu dilaksanakan dan sanggup memberikan kerjasama penuh.

“Saya pernah tanya beliau (Mujahid) dalam Parlimen dan dia jawab tidak perlu (RCI), sekarang dia suruh buat balik pula. Saya doakan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin buat RCI.

“Dulu (ketika PH memerintah) buat pelbagai laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya ucap terima kasih tetapi 22 bulan saya tidak dituduh pun. Saya hendak nyatakan kalau kerajaan PH tunai janji buat RCI…sampai sekarang tidak macam ini, (berlaku) tuduh menuduh (1 sama lain),” katanya.

Beliau juga menafikan campur tangan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low dalam pembelian ekuiti 30% dalam Putrajaya Perdana Berhad yang dikaitkan dengan SRC International ketika beliau menjadi pengerusi TH pada 2013.

Malah, beliau turut mendakwa tidak mengenali Jho Low dan menjelaskan pembelian itu dibuat selepas syarikat berkenaan berunding dengan TH untuk menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) bagi membolehkannya disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Kita beli selepas panel pelaburan membuat semakan. Waktu itu tiada nama Jho Low. Hanya ada nama Rosman ‘Abdullah’ (pengarah urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd),” katanya menjawab soalan dikemukakan Mujahid mengenai perkara itu.