P Pinang pilih firma Denmark sebagai pereka utama pelan induk projek 3 pulau buatan

P Pinang pilih firma Denmark sebagai pereka utama pelan induk projek 3 pulau buatan

Firma Bjarke Ingels Group yang berpangkalan di Denmark dipilih daripada 5 pasukan yang disenarai pendek pada Januari lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan pemilihan firma Denmark Bjarke Ingels Group sebagai pereka utama pelan induk PSI daripada 124 penyertaan dari 26 negara malam tadi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang memilih firma berpangkalan di Denmark, Bjarke Ingels Group (BIG) sebagai pereka utama pelan induk projek Penang South Islands (PSI), yang melibatkan pembangunan 3 pulau buatan manusia di bawah projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan firma itu sebagai pemenang pertandingan mencipta reka bentuk pelan induk (MDC) PSI di Hotel Equatorial Penang di sini, malam tadi.

“MDC mendapat sambutan global yang luar biasa dengan 124 penyertaan daripada 26 negara,” katanya, sambil menambah bahawa 5 pasukan disenarai pendek pada Januari lepas.

Beliau berkata, pasukan BIG akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, rakan usaha sama dan pihak berkepentingan untuk memuktamadkan pelan induk dan membangunkan garis panduan reka bentuk bandar untuk projek PSI.

“Pasukan ini juga akan bekerjasama rapat dengan negeri ini untuk memastikan semua aspek projek dengan mengambil kira warisan dan inovasi yang menjadi ciri-ciri Pulau Pinang, di samping mewujudkan persekitaran yang baik bagi masyarakat, ekonomi dan ekologinya yang sedang berkembang,” tambahnya.

Sementara itu, pengasas dan pengarah kreatif BIG Bjarke Ingels berkata, mereka menetapkan tahap tertinggi yang boleh dibayangkan manusia mengenai kepulauan baru ini yang bertujuan untuk menjadi lebih pelbagai dari segi budaya dan biologi daripada keadaan sedia ada.

“Ia suatu penghormatan besar dipilih untuk terlibat dalam sumbangan baru ini kepada kepulauan Malaysia. Kami sebenarnya memulakan perjalanan untuk mewujudkan lebih banyak untuk generasi akan datang,” katanya.

Di bawah projek PSR, kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821 hektar kawasan laut, bagi membina 3 pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur, sekitar Permatang Damar Laut untuk mewujudkan tanah bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh, di bahagian pulau dan Seberang Perai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.