Siasat rundingan terus di bawah BN dan PN juga, Guan Eng beritahu SPRM

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek yang diberikan secara rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) juga, sehari selepas agensi anti-rasuah itu berkata ia akan meneliti 101 projek yang diluluskan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tiada masalah dengan kajian SPRM ke atas projek itu, jika ia dilakukan secara adil dan profesional.

Beliau mengulangi cabarannya kepada penggantinya, Tengku Zafrul Aziz untuk mendedahkan senarai projek bernilai RM6.61 bilion itu.

“Jika SPRM mahu melakukan kajian, tiada masalah, tetapi mereka perlu melakukan kajian sama untuk projek di bawah BN dan PN.

“Jangan hanya siasat PH. Itu yang mereka katakan dwistandard,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul ketika di Dewan Rakyat berkata, 101 projek bernilai lebih RM6 bilion diberikan secara rundingan terus di bawah PH.

Bagaimanapun, Lim berkata, jika angka itu betul, ia hanya kira-kira 1.4% daripada nilai keseluruhan pemerolehan kerajaan yang bernilai RM477 bilion ketika pentadbiran PH selama 22 bulan.

Beliau turut mempersoalkan keseluruhan nilai projek yang diberikan melalui rundingan terus berbanding semua pemerolehan kerajaan di bawah BN dan pentadbiran sedia ada.

Katanya, kajian SPRM tidak patut digunakan “pihak tidak bertanggungjawab” sebagai alasan untuk tidak mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerima.

Beliau turut mempertahankan perjanjian itu dan menafikan mereka bertindak bertentangan manifesto pilihan raya PH.

“Tender terbuka ialah asas pemerolehan kerajaan, tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh diberikan kepada projek tender terus.”