Budak 5 tahun jatuh parit ditemui lemas

Mayat Muhammad Uwais Al-Hafiz Hamizal ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 10 pagi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menyambung semula operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi ini.

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit saliran air di Kampung Padang Temusu, Sungai Petani, semalam ditemui mati lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, mayat Muhammad Uwais Al-Hafiz Hamizal ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 10 pagi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menyambung semula operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi ini.

“Menurut saksi, mangsa sedang bermain bersama abangnya yang berusia 10 tahun di bahagian tepi parit berhampiran kedai milik ibunya sebelum dipercayai terjatuh.

“Saksi kemudiannya terjun ke dalam parit dengan kedalaman air kira-kira 2m untuk menyelamatkan mereka. Mereka berjaya berpaut pada saksi sebelum pegangan mangsa terlepas dan dibawa arus deras akibat hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mayat mangsa ditemui di Kampung Pokok Asam, Tikam Batu, kira-kira 1.4km dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.