Kerajaan komited pastikan Petronas untung, kata Tengku Zafrul

Kerajaan komited pastikan Petronas untung, kata Tengku Zafrul

Pada Jumat Petronas mengumumkan kerugian sebanyak RM21 bilion pada suku ke-2 tahun ini disebabkan harga minyak yang rendah, walaupun ia menunjukkan peningkatan pada ketika ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada sidang media selepas mengunjung hormat Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan komited memastikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mampu meraih keuntungan pada masa hadapan, walaupun ia bergantung pada harga minyak dunia.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerugian yang diumumkan Petronas pada Jumaat lepas adalah disebabkan harga minyak yang rendah, namun ketika ini ia menunjukkan peningkatan.

“Kalau tak silap saya pada Mac dan April lepas, harga minyak jatuh sampai AS$20 setong, sekarang ini sekurang-kurangnya berlaku peningkatan ekonomi global…unjuran harga minyak tahun ini adalah kira-kira AS$40 setong, jadi ia masih lagi dalam jajaran unjuran tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas pengumuman Petronas pada 4 September lepas bahawa ia mencatatkan kerugian sebanyak RM21 bilion bagi suku ke-2 berakhir 30 Jun, 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya.

Selain itu, Petronas merekodkan hasil rendah sebanyak RM34.04 bilion bagi suku ke-2 yang berakhir 30 Jun, 2020, daripada RM59.12 bilion disebabkan terutamanya impak daripada purata harga direalisasi rendah yang dicatatkan bagi produk utama berikutan kuantiti jualan rendah, terutamanya bagi produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) serta gas diproses.

Tengku Zafrul dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama 2 hari mulai semalam. Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walaupun Petronas tidak mencatat keuntungan, royalti minyak untuk Terengganu akan tetap disalurkan pada bulan ini (September) seperti yang diputuskan kerajaan, namun jumlahnya perlu diperhalusi berdasarkan keadaan semasa.

Tengku Zafrul berkata, kerugian yang dicatatkan Petronas tidak akan menjejaskan pembangunan negara kerana kerajaan masih mempunyai beberapa inisiatif untuk menstabilkan ekonomi dan memperoleh pendapatan.

“Kerajaan masih lagi akan melakukan perbelanjaan terutama untuk pembangunan…oleh sebab itulah defisit fiskal kita akan naik.

“Defisit negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Ia diunjurkan meningkat antara 5.8% hingga 6.0% berbanding 3.4% yang dicatatkan tahun lalu.

“Perbelanjaan dilakukan oleh kerajaan khususnya pembangunan, menunjukkan komitmen untuk terus membuat perbelanjaan yang penting bagi membantu rakyat dan perniagaan untuk mengaktifkan semula ekonomi,” katanya.

Kerajaan bukan sahaja bergantung pada sumber daripada Petronas, tetapi juga mempunyai hasil lain, selain sumbangan Petronas adalah kurang daripada 20%, katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, melalui pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), rakyat Terengganu menikmati manfaatnya yang bernilai RM767 juta, manakala menerusi Penjana pula usahawan mendapat manfaat bernilai RM257 juta.

“Daripada segi memperkukuhkan ekonomi, kerajaan pusat menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek kecil.

“Kerajaan juga membincangkan pelbagai langkah yang boleh diusahakan bagi melonjakkan lagi ekonomi negeri Terengganu, terutamanya dalam persekitaran penularan Covid-19 ketika ini,” katanya.

Antara fokus utama lawatan rasmi delegasi daripada Kementerian Kewangan ke Terengganu juga adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat Covid-19 serta wakil industri minyak, gas dan petrokimia.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan dan langkah yang akan disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan sampai kepada kumpulan tersasar dengan telus dan cepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.