
Bagaimanapun, selepas meneliti laporan khas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang diserahkan kepadanya, Hamid berkata terdapat beberapa kelemahan dan mengakui ada ruang untuk penambahbaikan.
“Saya meneliti laporan berkenaan dan mendapati berberapa perkara dibangkitkan dalam video pendedahan Asri Janggut yang tular di media sosial, adalah kurang tepat.
“Ini kerana pihak ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh tidak menerima sebarang ganjaran atau rasuah bagi banteras kes judi di daerah itu,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan 4 pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Selain itu, Hamid berkata dalam laporan JIPS itu juga menyatakan, Ketua Polis Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar memiliki rekod baik dan bertanggungjawab menangani isu berkenaan di daerah terlibat.
“Daripada segi penguatkuasaan usaha membanteras kegiatan judi yang dilakukan oleh IPD berkenaan memang dijalankan dengan giatnya.
“Siasatan JIPS secara menyeluruh dan saya melihat daripada latar belakang kekayaan yang dimiliki pegawai dan anggota polis di daerah itu, tidak ada yang luar biasa yang menunjukkan mereka ini menerima rasuah,” katanya.
Hamid berkata, adalah tidak benar sama sekali jika dikatakan seluruh warga IPD Sungai Buloh terlibat rasuah dan sebagainya.
“Saya masih menaruh keyakinan terhadap mereka (warga IPD Sungai Buloh) dan saya hendak memulihkan semangat mereka selepas dikecam di media sosial. Mereka ini bekerja dengan ikhlas dan jujur,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan JIPS telah menyerahkan laporan khas mengenai IPD Sungai Buloh berhubung kes perjudian di daerah itu, yang merangkumi hasil siasatan pasukan khas selama 10 hari dan aset yang dimiliki pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh.
Pada Ogos, tular video di media sosial menerusi Facebook Hot Burger Malaysia yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Asri Janggut, membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan penjualan rokok seludup berleluasa di Sungai Buloh.