Malaysia berpotensi juarai tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, kata Greenpeace

Malaysia berpotensi juarai tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, kata Greenpeace

Kumpulan pencinta alam itu berkata, Malaysia mempunyai alat untuk menjadi penjana tenaga boleh diperbaharui, jika melakukan perubahan dasar yang positif.

Greenpeace berkata, penghasilan tenaga solar Malaysia akan memainkan peranan utama pada masa depan. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Kumpulan pencinta alam, Greenpeace berkata, Malaysia berpotensi menjadi “juara tenaga boleh diperbaharui” di Asia Tenggara, tetapi kerajaan perlu menyelaras keutamaannya terhadap sektor solar yang sedang berkembang itu dan menjauhi sektor gas asli, minyak serta arang batu.

Menerusi laporan bertajuk “Kad Skor Sektor Tenaga Asia Tenggara”, Malaysia mendapat D+ kerana bergantung kepada bentuk tenaga tidak lestari dan kepentingan politik dalam industri gas asli serta petroleum.

Namun, Greenpeace mengiktiraf keupayaan teknikal serta potensi solar Malaysia yang kuat, dan negara ini mempunyai alat untuk menjadi penjana tenaga boleh diperbaharui, jika melakukan perubahan dasar yang positif.

Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun dalam kenyataan hari ini berkata, penghasilan tenaga solar Malaysia ialah aset hebat, yang akan “memainkan peranan utama dalam ekonomi tenaga Malaysia pada masa depan”.

Kumpulan itu menggalakkan pelaburan dalam projek solar di dalam dan luar negara untuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui, yang akan mewujudkan anggaran 12,000 pekerjaan sebagai produk sampingan.

Ketika ini, Malaysia mempunyai kapasiti untuk menghasilkan teknologi solar pada skala besar, tetapi sebahagian besarnya dieksport yang menyumbang kepada 5% modul solar dunia.

Greenpeace turut menyarankan pelaksanaan dasar pengecualian untuk menghentikan industri gas secepat mungkin bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor tenaga solar.

Katanya, kerapuhan industri petroleum dan gas didedahkan pandemik Covid-19, yang sepatutnya memberi insentif tambahan untuk bergerak ke arah tenaga boleh diperbaharui.

“Turun naik harga gas yang kita lihat pada 2020 akibat Covid-19 mendatangkan risiko yang kita akan lihat semula pada masa depan. Solar tidak mempunyai harga bahan api dan Malaysia sudah menikmati kapasiti penghasilan yang kukuh,” kata Heng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.