Semua 18 ahli Parlimen PAS tidak bersama Anwar, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada seorang pun daripada parti tersebut menyokong Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: PAS mengesahkan tiada seorang pun wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim, tidak lama selepas presiden PKR itu mengumumkan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” bagi membentuk kerajaan.

“Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man kepada FMT.

Sementara itu, Naib Presiden Nik Mohd Amar Abdullah meminta FMT tunggu kenyataan perdana menteri “petang nanti”.

Terdahulu, Anwar pada sidang media mengumumkan dapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu, dengan “majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam”.

Anwar mendakwa beliau boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif”.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), dan PSB (2).

Enam ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas.