
Masing-masing mengetengahkan pelbagai isu antaranya pendatang tanpa izin, Perjanjian Malaysia 1963, tuntutan Filipina ke atas Sabah, pembangunan, bantuan Covid-19, pelaksanaan manifesto, lompat parti, dan keselarian kerajaan persekutuan dan negeri, di samping masalah kampung.
Namun, secara keseluruhan, kempen menyaksikan lebih banyak aksi menyalahkan lawan berbanding menabur janji pembangunan dan kesejahteraan.
Pedalaman Atas kawasan yang terletak bawah Bahagian Pedalaman, satu daripada 5 bahagian di Sabah. Ia merangkumi Daerah Tenom, Daerah Nabawan, Daerah Keningau, dan Daerah Tambunan, serta meliputi DUN Tambunan, DUN Bingkor, DUN Liawan, DUN Melalap, DUN Kemabong, DUN Sook, DUN Tulid, dan DUN Nabawan.
Di sini juga parti komponen Gabungan Rakyat (GRS) akan bertembung sesama sendiri iaitu di DUN Liawan (STAR lawan PBS), DUN Sook (STAR lawan PBRS), DUN Melalap (BN lawan PBS), dan DUN Tulid (STAR lawan PBRS lawan PBS).
STAR akan bersaing secara langsung dengan lawan GRS di DUN Tambunan dan DUN Bingkor selepas PBS bersetuju menghentikan kempen, namun di DUN Tambunan, 10 pemimpin akar umbi PBS dan penyokong masing-masing beikrar akan menyokong parti lawan, Upko.
Kempen GRS di Pedalaman Atas menyaksikan nama-nama besar Sabah dan Semenanjung turun membantu termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin; bekas ketua menteri, Musa Aman; dan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Di pihak Warisan Plus pula, gabungan itu menurunkan penarik orang ramai seperti Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Warisan, Shafie Apdal; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menarik untuk diperhatikan adalah DUN Liawan, di mana 17,446 pengundi perlu memilih seorang daripada 7 calon yang berebut untuk meraih sokongan.
Begitu juga di DUN Sook, di mana 10,397 pengundi perlu mempertimbangkan siapa dalam kalangan 5 calon bertanding yang layak mewakili mereka, selepas dihujani pujukan daripada tokoh politik seperti Najib dan Anwar.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah