
TOKYO: Sebanyak 29 gempa bumi bermagnitud maksimum 7.6 berlaku di wilayah Ishikawa dan Niigata, Jepun dalam tempoh dua jam pada Isnin, menurut data dianalisis Sputnik.
Gegaran bawah tanah bermula pada 4.06 petang waktu tempatan (07:06 GMT).
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata, sekurang-kurangnya enam rumah runtuh akibat aktiviti seismik.
“Setakat ini, enam bangunan runtuh dengan kemungkinan ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” katanya sambil menambah pihak berkuasa tiada maklumat mengenai penduduk yang cedera.
Mengulas laporan media Jepun mengenai runtuhan kira-kira 100 bangunan, Hayashi berkata, kerajaan sedang mengesahkan maklumat itu.