1 maut tembakan di kampus universiti AS

1 maut tembakan di kampus universiti AS

Seramai 16 lagi cedera dalam tembakan di kampus Universiti Tuskegee, Alabama pada awal pagi Ahad.

Tangkap layar daripada video menunjukkan pihak berkuasa sedang menyiasat di lokasi tembakan di Universiti Tuskegee pada Ahad. (Gambar fail)
HOUSTON:
Seorang terbunuh, manakala 16 lagi termasuk pelajar cedera dalam tembakan di kampus Universiti Tuskegee, Alabama, Amerika Syarikat pada awal pagi Ahad, lapor Xinhua.

Seorang remaja 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara 12 lagi cedera akibat terkena tembakan, menurut Biro Penyiasatan Negeri, Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama.

Universiti Tuskegee dalam kenyataan memaklumkan mangsa maut bukan pelajar universiti itu.

“Mangsa lain termasuk pelajar Universiti Tuskegee mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Pusat Perubatan East Alabama di Opelika serta Hospital Baptist South di Montgomery,” menurut kenyataan itu.

Insiden berlaku ketika Universiti Tuskegee sedang meraikan “Homecoming” ke-100 Sabtu lalu, semasa perlawanan bola sepak antara Tuskegee dan Miles College dari Alabama.

“Kami percaya terdapat dua penembak, mungkin lebih,” kata seorang pegawai melalui radio yang disiarkan Broadcastify.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat petang Ahad, menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama.

“Saya mohon semua hadirin menyertai saya bertafakur sejenak untuk mengenang jiwa terkorban serta mengingati keluarga dan sahabat yang sedang berduka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Tuskegee, Mark Brown sambil meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan stafnya.

Insiden tragis itu kes tembakan terbaru di kampus universiti semasa acara “homecoming” di selatan AS.

Pada 19 Okt lalu, insiden tembakan selepas perlawanan “homecoming” di Universiti Negeri Albany, Georgia, mengorbankan satu nyawa dan beberapa lagi cedera.

Di Lexington, Mississippi, acara “homecoming” turut bertukar ganas apabila tiga terbunuh, manakala lapan lagi cedera ditembak.

Pada 12 Okt lalu, tembakan dekat Universiti Negeri Tennessee di Nashville mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan sembilan yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.