
Pendakwa raya mendakwa suspek “menghasut kebencian dan permusuhan”, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika pihak berkuasa memburu lima lagi suspek, 11 individu ditahan itu dibebaskan pada hari sama kemudian.
Sebelas yang ditahan itu termasuk pelakon Cem Yigit Uzumoglu, yang memainkan watak Sultan Mehmed II dalam siri popular “Rise of Empires: Ottoman”.
“Kami bebas membantah, menyuarakan pendapat kami dan akan terus berbuat demikian. Dan jika ada halangan, kami akan terus berjuang,” kata Uzumoglu, 31, kepada wartawan selepas dibebaskan.
Pemimpin pembangkang utama, Parti Rakyat Republik (CHP) menggesa boikot perbelanjaan pada Rabu untuk memberi tekanan kepada kerajaan susulan penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, pada 19 Mac lalu.
Imamoglu adalah saingan utama Presiden, Recep Tayyip Erdogan. Penahanannya membawa kepada protes besar-besaran.
Hampir 2,000 orang, termasuk ratusan pelajar dan anak muda ditahan sejak protes bermula.
Sebahagian kafe, restoran dan bar di Istanbul serta Ankara masih ditutup pada Rabu susulan gesaan boikot itu.
Pemimpin CHP, Ozgur Ozel, menggesa boikot terhadap berpuluh-puluh syarikat dan kumpulan Turki yang dianggap rapat dengan kerajaan Erdogan.
‘Boikot satu bentuk protes’
Erdogan menyokong syarikat terbabit, dengan menekankan nilai mereka kepada ekonomi Turki.
Beberapa menteri membidas gesaan boikot itu, termasuk Menteri Perdagangan, Omer Bolat yang berkongsi gambar beliau membeli-belah di sebuah premis di media sosialnya “sebagai tanda solidariti terhadap gesaan beberapa kumpulan pembangkang untuk merosakkan negara kita”.
Penyokong lain boikot itu berdepan tindakan balas.
Stesen penyiar kerajaan Turki TRT memecat pelakon Aybuke Pusat daripada siri televisyen “Teskilat” yang menyuarakan sokongan terbuka kepada kempen diketuai pembangkang itu.
“Tidak boleh diterima individu terbabit projek TRT…menjadi sebahagian kempen politik yang dimulakan dengan jelas oleh parti politik menyasarkan ekonomi negara dan berusaha mereka bentuk politik dan polarisasi negara,” kata Ketua Pengarah penyiar itu, Mehmet Zahid Sobaci pada Rabu.