
Kejadian itu dilaporkan pada 9:31 pagi (waktu tempatan) di Catalyst Refiners, kemudahan pemulihan perak di komuniti Institute, kira-kira 16km barat laut ibu negeri Charleston.
Siasatan awal mendapati kilang itu dalam proses menutup operasi, dengan pekerja terbabit aktiviti pembersihan dan penyahcemaran sebagai persediaan untuk penutupan, menurut kenyataan media Suruhanjaya Daerah Kanawha.
Dipercayai tindak balas kimia berlaku ketika itu, dicetuskan pencampuran tidak sengaja dua agen kimia yang menghasilkan hidrogen sulfida, iaitu gas toksik tidak berwarna dengan bau telur busuk, kata Suruhanjaya Daerah Kanawha.
Ia menyebabkan “tindak balas bahan kimia serta-merta”, kata CW Sigman, pengarah pengurusan kecemasan suruhanjaya daerah itu dalam taklimat.
Antara individu dimasukkan ke hospital ialah tujuh kakitangan ambulans yang dikerahkan ke tempat kejadian. Dalam keadaan kecemasan itu, mangsa dibawa ke hospital tempatan dengan kereta persendirian dan lori sampah, kata Sigman.
Pihak berkuasa belum mendedahkan senarai mangsa atau keadaan mereka yang dimasukkan ke hospital.
Presiden Ames Goldsmith Corporation, Frank Barber dalam kenyataan mengakui dua pekerjanya maut.
“Ames Goldsmith Corp amat sedih dengan kematian dua rakan sekerja kami,” kata Barber sambil menambah syarikat itu bekerjasama penuh dengan agensi tempatan, negeri dan persekutuan untuk mencari punca kebocoran.
Gabenor Virginia Barat, Patrick Morrisey dalam kenyataan mengesahkan Bahagian Pengurusan Kecemasan, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Perlindungan Alam Sekitar negeri itu diaktifkan dan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa daerah.
“Keutamaan kami ialah keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Kami bekerja sepanjang masa dengan pegawai tempatan untuk memastikan insiden ini dibendung dan semua sumber negeri diperlukan berada di lapangan untuk melindungi masyarakat.”