Nasi kandar anak jati Klang jadi buruan di New Zealand

Nasi kandar anak jati Klang jadi buruan di New Zealand

Cef Joel Singam yang terlatih dalam masakan Itali berharap membuka restoran satu hari nanti dan menjual sos buatannya kepada orang Kiwi, Maori serta penduduk Kepulauan Pasifik.

Joel Singam dan isteri, Alexandra Kumaran. (Gambar Lincoln Tan)
PETALING JAYA:
Ketika bergelumang dalam kemurungan, Joel Singam yang sedang bermain permainan bola sepak dengan PS4 di kediamannya di Auckland, New Zealand, tersentak apabila tiba-tiba isterinya, Alexandra Kumaran, melontarkan buah fikiran.

“Kenapa tidak jual Nasi Kandar saja?”

Dan Singam, yang pernah menjadi cef sebelum menjadi jurujual kereta untuk syarikat pengeluar Australia, Holden, sehingga dibuang kerja tahun lalu, terus melihat peluang dalam idea itu.

Tidak mungkin silap langkahnya kalau memilih Nasi Kandar.

Apatah lagi satu ketika dulu Singam pernah mengikut bapanya yang bertugas sebagai penyelaras insurans – merantau sekitar Malaysia sehingga membuka mata dan seleranya terhadap kepelbagaian makanan tempatan.

Tambahan pula dia sendiri terlatih sebagai seorang cef, walaupun untuk masakan Itali.

Selain itu, Singam dan isteri memerhatikan tiada restoran India Muslim di kejiranan mereka untuk pasaran halal yang besar.

“Jadi, isteri mencadangkan kepada saya, ‘kita sudah ada semua resepi ini dalam kepala, apa kata kita buka kedai Nasi Kandar’.

“Memang detik itu umpama saya mendapat petunjuk,” katanya kepada FMT.

Susulan itu, Singam, bersama Kumaran dan seorang rakan membincangkan perancangan mereka untuk membuka gerai di pasar malam mingguan, digelar “Nasi Kandar Pulau Pinang by Chef Joe”.

Antara lauk Nasi kandar yang dijual di pasar malam Auckland di New Zealand. (Gambar Joel Singam).

Memandangkan mereka satu-satunya gerai yang menjual Nasi Kandar asli, khabar mengenai gerai itu tersebar luas lebih-lebih lagi selepas beritanya disiarkan New Zealand Herald.

Kemudian, lebih ramai golongan ‘Kiwi’ (gelaran penduduk tempatan) datang semata-mata mahu menjamah rasa asal Nasi Kandar Pulau Pinang itu.

Ketika Singgam dan Kumaran pertama kali memulakan operasi, 80% pelanggan mereka adalah orang Malaysia.

Namun, kini selepas semakin popular, hanya 30% pelanggan mereka adalah dari Malaysia manakala selebihnya golongan Kiwi, Maori dan Kepulauan Pasifik.

“Mereka sangat sukakan rempah dalam kari kambing dan nasi kami. Mereka juga sangat sukakan roti canai!” ujarnya.

Terdapat sekitar 17,000 orang Malaysia di Auckland. Bayangkan reaksi mereka apabila mengetahui Singgam berasal dari Klang, isterinya dari Kepong, tetapi Nasi Kandar mereka sudah pasti dari Pulau Pinang!

Singgam mengakui pelanggannya yang berasal dari pulau mutiara agak taasub dengan makanan yang berasal dari situ negeri mereka.

“Jadi saya katakan kepada mereka, ini Nasi Kandar Pulau Pinang dengan gaya saya yang tersendiri,” jelasnya.

Dari kiri: Kari kambing, kari ikan dan sayur kobis yang dijual di gerai Nasi Kandar Joel. (Gambar Joel Singam)

Singgam bagaimanapun menyedari betapa pentingnya membawa jenama ‘Nasi Kandar Pulau Pinang’.

Oleh itu, dia memastikan hanya menggunakan bahan terbaik untuk masakannya, bagi memastikan ketulenan rasa walaupun ini bererti ia terpaksa dijual dengan harga yang lebih mahal.

Antara bahan ‘wajib’ dalam hidangannya termasuk serai dan daun limau.

Singgam berkata, reputasinya lebih penting daripada sekadar mahu mencari untung, namun turut mengakui rasa patriotisme sebagai rakyat Malaysia juga membuatnya bersemangat untuk memastikan masakannya sempurna.

“Saya turut membawa reputasi Nasi Kandar Malaysia ke New Zealand,” ujarnya.

Sejak dibuka pada Ogos lalu, Singam berkata perniagaannya laris malah lazim jualan ‘licin’ sebelum habis waktu berniaga.

Dia mengakui kejayaan tidak mampu dicapai tanpa sokongan keluarga dan rakan-rakan, selain semua rakyat Malaysia yang berterusan menyokong perniagaannya.

Isteri Joel, Alexandra Kumaran, sedang melayan pelanggan di gerainya. (Gambar Joel Singam)

Namun, paling istimewa di hati adalah isterinya yang disifatkan sebagai penyokong paling setia.

Singam memberitahu FMT, Kumaran tidak pernah mengabaikannya terutama selepas dia kehilangan kerja dan buntu memikirkan masa depannya.

Katanya, Kumaran, bekas pembantu pengurus sumber manusia di firma hartanah, telah menggalakkannya kembali kepada minat pertamanya iaitu bidang masakan.

“Dialah inspirasi saya. Dia mengingatkan saya mengenai semua resepi kari Malaysia malah berkata saya mampu menjadi Sergio Malaysia di Auckland!” katanya merujuk kepada cef terkenal Belanda, Sergio Herman.

Bagaimanapun, buat masa ini Singam memfokuskan terhadap perniagaan restoran lebih komersial selain menjual sos dalam botol.

Buat masa ini, katanya, semua penyediaan bahan dan masakan dibuat di rumah, namun menambah, “Satu hari nanti saya mahu membuka restoran dan akan memanggilnya ‘Kandar by Chef Joel”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.