
Ketika Inggeris terus menguasai Sarawak sebagai sebahagian daripada Jajahan Mahkota, ia turut membawa kepada kemunculan wira muda kelahiran Sibu seperti Rosli Dhobi, yang berjuang hingga ke hujung nyawa untuk kemerdekaan Sarawak.

Sebenarnya, Rosli memainkan peranan penting dalam pemberontakan Sarawak terhadap British berikutan satu tindakan kepahlawanan yang terpahat selamanya sebagai legenda Malaysia.
Sarawak diperintah oleh monarki dinasti sehingga tahun 1946, yang dikenali sebagai Raja Putih dan di bawah pemerintahan itu, penduduk Sarawak tetap taat walaupun mereka mendambakan kemerdekaan.
Namun, kekacauan meletus sebaik berita bahawa Raja Putih akan menyerahkan Sarawak kepada Mahkota Britain tersebar, setelah mengalami kerugian besar berjumlah sekitar 23 juta dolar semasa penjajahan Jepun.
Keputusan ini dibuat kerana Raja Putih tidak memiliki sumber kewangan untuk membangunkan semula Sarawak selepas telaga minyak, landasan udara, dan ladang getah dimusnahkan tentera Jepun.
Penyerahan tersebut dilakukan pada 1 Julai 1946 tanpa persetujuan kaum pribumi Sarawak mengakibatkan tunjuk perasaan meletus di seluruh negeri.

Ketika anggota gerakan anti-penyerahan pantas menulis surat bantahan ke Pejabat Kolonial di London, beratus-ratus penunjuk perasaan, kebanyakannya penjawat awam, turun ke jalan raya dengan membawa poster anti-penyerahan.
Dalam usaha menghentikan tunjuk perasaan, Inggeris mengancam akan memecat mereka, namun penduduk Sarawak yang cukup berwaspada mempunyai rancangan lain.
Pada 2 April 1947, lebih 338 penjawat awam, kebanyakannya guru berhenti kerja dan ini menyebabkan 22 sekolah ditutup.
Rosli adalah seorang daripada guru yang meletak jawatan. Sebelum mengajar, dia bekerja di Utusan Sarawak, sebuah akhbar tempatan di mana dia sering menerbitkan puisi nasionalisme menggunakan nama pena Lidros.
Cinta Rosli terhadap bangsanya disedari seorang sahabat lama, Awang Rambli yang memperkenalkannya kepada Rukun 13, sebuah organisasi nasionalisme rahsia, pada tahun 1947.
Dalam pada itu, Sarawak bersiap sedia untuk menyambut kedatangan gabenor pertamanya, Sir Charles Arden-Clarke, yang memegang jawatan pada bulan Julai 1947.

Dengan kekacauan yang masih berleluasa, 13 anggota Rukun 13 merancang untuk menghapuskan gabenor yang baru dilantik itu.
Walaupun Rukun 13 bersekongkol untuk menghapuskan Clarke, rancangan mereka untuk membunuh gabenor itu berjaya dilaksanakan ketika Sir Duncan George Stewart memegang peranan itu pada tahun 1949.
Setelah beberapa minggu bertugas, Stewart akhirnya membuat penampilan pertamanya di Sibu pada 3 Disember.
Lazimnya, gabenor akan menerima sambutan meriah dari penduduk setempat namun tanpa disedari, dalam ratusan hadirin yang ada, sekumpulan anak muda telah bersedia untuk menyerang.
Ketika Stewart sedang berjalan untuk bertemu orang ramai dan berhenti untuk memeriksa barisan pengawal kehormat, dia didatangi sekumpulan pelajar muda.
Di antara mereka adalah Morshidi Sidek, anggota Rukun 13, yang dengan sopan meminta untuk mengambil gambar dan dipersetujui gabenor itu.
Ketika itulah, Rosli dengan berani melompat dari belakang dan menikam dada gabenor tersebut. Tatkala jaket putih gabenor perlahan-lahan dibasahi darah, Rosli dan Morshidi terus ditahan.
Stewart meninggal dunia beberapa hari kemudian di Hospital Besar di Singapura.

Kapsyen: Gambar Rosli Dhobi yang ditahan sebaik membunuh Gabenor Sarawak. (Gambar Wikipedia)
Walaupun pembunuhan itu berjaya, perjuangan Rosli ke arah nasionalisme membawanya ke tali gantung pada bulan Mac 1950.
Dia dan rakan-rakannya – Awang, Morshidi dan dua anggota Rukun 13 yang lain digantung di atas jenayah yang mereka lakukan.
Dengan sebahagian anggota Rukun 13 yang lain dipenjara, British menganggap pembunuhan itu sebagai amaran bahawa orang Sarawak adalah masyarakat yang kuat dan bersemangat.
Walaupun begitu, menjelang Februari 1951, gerakan anti-penyerahan hanya tinggal kenangan.
Signifikan disebalik penentangan Rosli itu bagaimanapun dikenang pada tahun 1975, apabila menteri pendidikan ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengabadikan jasa pemuda itu dengan menukar nama SMK Bandar Sibu kepada SMK Rosli Dhobi.
Walaupun Rosli dan anggota Rukun 13 tidak berkesempatan untuk menyaksikan sendiri penghormatan ini, mereka akan terus dikenang sebagai pelopor kemerdekaan Sarawak, wira yang menentang penjajahan dan berjuang dengan berani demi tanah air yang mereka cintai.
Sama seperti kata-kata Rosli dalam puisinya, Panggilan-Mu yang suci:
“Wahai pemuda bercita suci
Kekalkan Sarawak, negara kita yang asli,
Meskipun bagaimana ancaman terjadi,
Hendaklah sehidup semati.” – Rosli Dhobi
Dan itulah yang dilakukannya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]