Kasut Converse 104 tahun terjual dengan harga RM40,800

Kasut Converse 104 tahun terjual dengan harga RM40,800

Pemuda dari Kota Bharu terpaksa menjual kasut kesayangannya demi meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik Covid-19 melanda.

Wan Irfayuim menunjukkan sepasang kasut Converse Non Skid yang dibida oleh pembeli dari Pahang dengan harga RM40,800. (Gambar Bernama)

Seorang lelaki yang terpaksa melelong kasut Converse miliknya yang berusia 104 tahun demi kelangsungan hidup, tidak menyangka ditawarkan harga setinggi RM40,800 daripada pembida dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, yang juga pengumpul kasut vintaj dari Kota Bharu, Kelantan baru saja memuat naik lelongan kasut diminati ramai itu sebelum disambar oleh pembida bertuah berkenaan.

Katanya, pembida berasal dari Pahang itu menawarkan harga paling lumayan dan mereka sudah pun memuktamadkan urusan jualan kasut berharga terbabit.

“Saya turut bersetuju memberikan tiga pasang Converse yang dikeluarkan pada 1950, 1960 dan 1970 sebagai hadiah.

“Difahamkan, dia juga adalah seorang pengumpul barangan antik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu, di sini.

Hantaran yang dimuat naiknya semalam, menjadi tular di Facebook apabila menerima 7,000 perkongsian dan hampir 9,000 tanda suka.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Irfayuim berkata, kasut yang dijual sebagai koleksi itu didatangkan lengkap dengan sepasang seluar pendek dan pelindung lutut pemain bola keranjang yang dikeluarkan pada 1916.

Menyingkap sejarah kasut Converse tertua di dunia itu, dia membeli kasut terbabit pada 2018 daripada sepasang suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat (AS).

“Mereka menghubungi saya selepas melihat hantaran di Facebook mengenai sejarah kasut vintaj. Pasangan itu terdesak dan memerlukan wang untuk menampung kos rawatan anak mereka,” katanya.

Dia berharap, pemilik baru kasut terbabit akan menghargai nilai tinggi kasut Converse Non Skid yang dimilikinya itu.

Jelasnya, kasut itu dijual untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak dapat kembali bekerja dalam sektor pelancongan di Jepun akibat penularan pandemik Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.