Perladangan penyelamat Orang Asli dari sengsara Covid

Perladangan penyelamat Orang Asli dari sengsara Covid

GPF membantu Orang Asli untuk berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan makanan semasa PKP.

Dua petani Orang Asli dilihat mengusahakan ladang yang membantu menampung kehidupan mereka semasa PKP. (Gambar GPF)
PETALING JAYA:
Wabak Covid-19 sudah tentu memberi kesan kepada kehidupan rakyat dalam pelbagai cara.

Semakin ramai bergelut hanya untuk bertahan atau memastikan ada makanan di dapur bagi mengalas perut.

Bandar-bandar yang dulunya merupakan pusat komersial yang sibuk kini umpama bandar ‘kosong’ apabila banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Keadaan tidak banyak berbeza di luar bandar, ini kerana ekonomi yang merudum turut memberi kesan buruk kepada masyarakat yang tinggal di sini.

Orang Asli khususnya turut terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah sekatan perjalanan, dengan bekalan makanan yang tidak terjamin dan kekurangan zat makanan menjadi isu utama ketika ini.

Mungkin ada yang bertanya mengapa Orang Asli tidak kembali kepada cara pertanian lama mereka.

Global Peace Foundation menyediakan latihan dan peralatan kepada masyarakat Orang Asli untuk mengusahakan ladang bagi kegunaan mereka sendiri. (Gambar GPF)

Hakikatnya, Orang Asli yang memang lebih berdikari itu tetapi tidak mempunyai sumber yang betul selain berdepan pelbagai cabaran dengan persekitaran.

Kemampuan mereka untuk berdikari pastinya tidak akan terjangkau jika tidak kerana bantuan NGO tempatan baru-baru ini yang tepat pada masanya.

Global Peace Foundation (GPF) Malaysia merupakan sebuah organisasi bebas yang berusaha untuk membina komuniti kuat, berteraskan visi kemanusiaan bersatu.

Sejak lapan tahun lalu, GPF telah berusaha untuk meningkatkan komuniti Orang Asli yang kurang bernasib baik di Malaysia.

Terkini, GPF giat melaksanakan projek OA-Eco Farm, menyasarkan untuk menangani cabaran pertanian yang dihadapi oleh Orang Asli.

Pegawai komunikasi GPF, Lauren Chew, ketika ditemui FMT berkata projek itu akan melatih dan membimbing petani Orang Asli selain melengkapkan mereka dengan peralatan pertanian yang diperlukan.

Tanaman yang ditanam sebahagian besarnya adalah buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan yang lazim makanan masyarakat Orang Asli. (Gambar GPF)

“Projek OA-Eco Farm menangani cabaran dalam pertanian dengan memberikan latihan langsung di setiap kampung, sebagai pengetahuan praktikal kepada petani mengenai pertanian lestari.

“Projek ini turut melaksanakan bimbingan peribadi untuk setiap plot tanah petani bagi memberikan panduan bagaimana mengatasi masalah khusus mereka,” katanya.

Memandangkan benih dan peralatan pertanian agak mahal, projek ini membantu memberikan subsidi peralatan dan anak benih yang diperlukan untuk membantu Orang Asli memulakan ladang mereka.

Tanaman yang diusahakan petani Orang Asli sebahagian besarnya adalah untuk sara diri, seperti cili, terung, labu, tomato, kacang panjang, kacang buncis, bayam, okra dan peria.

Menurut Chew, sambutan terhadap projek tersebut cukup positif, di mana sekitar 38 keluarga kini menjadi pemilik ladang yang subur dan berkembang.

Sukarelawan GPF terlibat dalam sesi kumpulan fokus bersama komuniti Orang Asli, sambil berkongsi pengetahuan pertanian yang berharga. (Gambar GPF)

“Semua 38 keluarga mengakui kini mereka lebih peka dengan amalan pertanian lestari sejak menghadiri sesi latihan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, petani Orang Asli ini turut menggunakan pendekatan lebih organik untuk bertani, tanpa penggunaan baja kimia dan mengutamakan pertumbuhan semula tanah yang sihat.

Tanah ladang juga telah diperluas, kerana petani kini lebih cenderung menanam sayur-sayuran yang dekat dengan mereka, seperti terung assam, kesang dan labu askar.

Sebagai rancangan masa depan, GPF kini sedang mengusahakan projek pertanian makanan Agroforesty yang akan menyaksikan petani Orang Asli menanam tanaman untuk sara hidup dan pendapatan.

Sekiranya anda mempunyai sejumlah besar benih sayur dan buah-buahan atau anak pokok, GPF dengan senang hati menerima sumbangan untuk kempen “Seeds of Hope”.

Kempen ini akan menyediakan sumber benih dan anak pokok kepada petani Orang Asli bertujuan membantu memulakan ladang mereka.

GPF berharap projek ini akhirnya dapat membantu menyediakan sumber pendapatan yang stabil kepada Orang Asli. (Gambar GPF)

Walau telah melakar kejayaan, projek ini tidak dapat lari dari pelbagai cabaran, ini kerana ladang-ladang yang terletak di Pahang amat bergantung kepada cuaca dan musim.

Musim kemarau awal tahun ini telah menjejaskan sebahagian tanaman, dengan kemampuan GPF untuk membantu petani disekat akibat pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan.

“Aspek pertanian regeneratif seperti memulihkan kesuburan tanah juga mengambil masa. Ia adalah cabaran kepada petani kerana mereka tidak dapat melihat hasil dengan segera.”

Begitu pun, GPF tetap yakin usaha itu akhirnya akan membuahkan hasil dan Orang Asli akan terus mendapat manfaat daripada kerja keras mereka.

“Kami berharap dapat memberi inspirasi dan mendorong lebih ramai petani Orang Asli untuk berjaya menghasilkan sumber makanan mereka sendiri bagi memenuhi keperluan,” katanya.

“Ini akan membantu keluarga mereka berdepan apa saja kesukaran di masa depan seperti pandemik Covid-19.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana anda dapat membantu atau apa yang boleh anda sumbangkan, lawati https://globalpeace.org.my/seeds-of-hope/.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.