
Pelancongan agro merupakan aktiviti melancong di kawasan pertanian atau penternakan yang memberi peluang kepada pelancong untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama pengusaha. Di Malaysia, pelancongan agro semakin membangun dan merupakan konsep baharu destinasi pelancongan di Negeri Selangor.
Terdapat banyak taman agro yang boleh dikunjungi di Selangor dan ianya bukan sahaja untuk lawatan namun pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Berikut merupakan 5 destinasi pelancongan agro terbaik yang boleh dilawati di negeri Selangor selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir:
1. MAEPS Agro Tourism Park, Serdang

MAEPS Agro Tourism Park merupakan taman agro yang menampilkan keindahan alam semula jadi, sesuai untuk bercuti bersama keluarga.
MAEPS, Serdang menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman di kawasan perladangan dan pertanian. Antaranya ialah “House of Kambing” yang menempatkan haiwan seperti kambing dan menawarkan menu makanan nasi kukus kambing bakar.
Selain itu, terdapat juga pelbagai taman pertanian yang membolehkan pengunjung menimba ilmu seperti laman herba, laman padi, laman nenas, laman perikanan dan G2G Animal Garden di mana mereka boleh memberi makanan kepada haiwan dan banyak lagi.
Pengunjung juga boleh menginap di Nafas Cube di sini yang berkonsepkan binaan kabin dan tiub.
Bayaran masuk: RM65 tanpa MyKad, RM45 dengan Mykad, RM35 pelajar
Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi hingga 5.30 petang)
2. Taman Botani Negara, Shah Alam

Taman Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan.
Taman ini mempunyai tarikan yang menarik khas buat pengunjung iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang terkenal di mana pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh.

Namun, rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun 2021.
Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus, buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi.
Bayaran Masuk: RM3 (12-54 tahun), RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55 tahun keatas), OKU percuma
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang)
3. Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor

Jika anda merancang untuk bercuti di taman buah-buahan, Selangor Fruit Valley merupakan destinasi yang tepat kerana taman ini menawarkan pelbagai jenis ladang buah-buahan tempatan serta anda juga boleh menikmati buah-buahan ini secara percuma.
Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti petting zoo mini, aktiviti berkayak, ladang rusa, rumah tradisional, ternakan madu kelulut dan lain-lain.
Di sini juga, terdapat tanaman buah belimbing, jambu, betik, rambutan dan sebagainya.
Kemudahan trem turut disediakan yang akan membawa anda melawat sekitar kawasan taman ini.
Anda juga boleh singgah ke gerai menjual air kelapa segar untuk beristirahat sambil menghilangkan dahaga.
Bayaran Masuk: RM8 (dewasa), RM4 (60 tahun ke atas), RM4 (OKU) dan kanak-kanak (5-12 tahun), percuma (5 tahun ke bawah)
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang)
4. Forest Research Institute Malaysia, Kepong (FRIM)

Salah satu tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong.
FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang.
Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Terdapat juga tanaman seperti Rubiaceae (famili kopi), Fabaceace (famili kacang), Euphorbiaceae (famil getah), pokok Keladan yang berumur 116 tahun, pokok Melaka dan banyak lagi.
Tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar.
Bayaran masuk: Tanpa Mykad (RM5, dewasa), (RM1, kanak-kanak tanpa seragam), (Percuma, OKU dan kanak-kanak berseragam)
Dengan Mykad (RM1, dewasa), (RM1, 13 tahun keatas), (Percuma, OKU dan kanak kanak pakaian berseragam)
Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.00 pagi hingga 5.00 petang)
5. Kuan Wellness Eco Park, Kuala Langat

Taman Eko Kuan Wellness merupakan salah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati di Selangor. Pengunjung boleh menikmati persekitaran taman yang segar dengan tema pelancongan ekologi semula jadi disertakan dengan pelbagai aktiviti yang ada di taman ini.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah memberi makanan kepada haiwan di mini zoo seperti arnab, itik dan burung.
Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke ladang buah tropika dan menyaksikan aktiviti pemprosesan sarang burung untuk dijadikan produk kesihatan.
Pengunjung juga boleh bergambar belatarkan landskap yang cantik.
Bayaran masuk: RM3 untuk ruang pameran sarang burung, RM5 untuk mini zoo
Waktu Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang (setiap hari)
Negeri Selangor sememangnya mempunyai pelbagai destinasi pelancongan agro yang menarik untuk dikunjungi.
Dalam menikmati percutian anda ke tempat-tempat pelancongan agro seperti yang telah dicadangkan oleh pihak Tourism Selangor, jangan lupa untuk mematuhi operasi prosedur standard (SOP) dan sentiasa menjaga penjarakan sejauh 1 meter antara satu sama lain bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19 dari terus menular.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel
Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri Selangor. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara serta banyak lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]