
Pantai adalah lokasi percutian kegemaran ramai orang yang tertarik dengan keindahan selain mahu mencari suasana tenang.
Namun, pernahkah anda bayangkan, sesi persekolahan dilakukan di tepi pantai?
Itu yang dilakukan oleh sebuah sekolah di wilayah Murcia, Sepanyol yang mengambil pendekatan berbeza untuk mengajar kanak-kanak sambil menghirup udara segar.
Kawasan pantai Playa de los Nietos kini menjadi ‘bilik darjah’ murid sekolah Felix Rodriguez de la Fuente yang lengkap bersama meja, kerusi dan papan hitam.
“Ia adalah selamat dan kanak-kanak ini sangat menikmati suasana pembelajaran. Mereka tidak lupa mengenai apa yang dipelajari di sini,” kata guru Bahasa Inggeris, Juan Francisco Martinez.
Kanak-kanak tersebut kelihatan begitu selesa sekali apabila hanya berkaki ayam sambil bermain alat muzik, xylophones manakala yang lain pula seolah-olah sedang bersantai ketika waktu cuti.
Pendekatan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada projek Fresh Air yang bertujuan menyediakan udara lebih baik kepada kanak-kanak ketika dilanda pandemik Covid-19 termasuk sesi pembelajaran secara terbuka.
Bermula jam 8 pagi, guru sekolah terbabit sudah bersiap sedia untuk mengajar lapan sesi kelas selama 20 minit dan beberapa kumpulan akan bergilir mengadakan sesi pembelajaran di beberapa tempat berbeza.
Kanak-kanak yang berusia tiga hingga 12 tahun itu akan kekal berada dalam gelembung kelas mereka dan setakat ini tiada sebarang kes Covid dilaporkan berlaku.
“Saya suka ke pantai dan lebih menyukai tempat ini kerana ia lebih menenangkan dan selesa,” kata Antonio Fernandez, 9.
Projek itu turut mendapat sokongan daripada persatuan penduduk di kawasan berhampiran yang mengenakan kostum tentera zaman Rom dan nelayan sambil membuat penerangan mengenai sumber makanan.
“Nelayan mengajar murid ini bagaimana untuk menangkap ikan. Mereka juga mengajar bagaimana mereka berupaya menyediakan bekalan makanan kepada kita ketika tempoh pandemik ini,” kata pengetua, Alfonso Vera.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]