Mencari ikhlas, mencari Ramadan

Mencari ikhlas, mencari Ramadan

Mencari Ramadan bukan sekadar mencari suasana, bazar atau nostalgia masa kecil, tetapi mencari kembali kedudukan diri sebagai hamba.

Melihat anak bulan bulan puasa 17022026 di kk

Setiap kali Ramadan tiba, kita bercakap tentang sabar, tentang menahan diri, tentang memperbanyakkan amal dan mengurangkan kelalaian. Namun ada satu perkataan yang selalu disebut dengan penuh hati-hati, malah kadang-kadang dengan nada cemas — ikhlas.

Dalam perbualan harian, kita sering mendengar ungkapan seperti, “Saya belum mahu buat lagi, takut tak ikhlas.” Ayat itu kedengaran warak dan penuh kehati-hatian. Tetapi apabila direnung lebih dalam, ia juga boleh berubah menjadi alasan yang menghalang perbuatan baik daripada berlaku.

Kita seakan-akan meletakkan ikhlas sebagai syarat mutlak sebelum bertindak, seolah-olah ia sesuatu yang sepenuhnya berada di bawah kawalan kita. Jika hati belum cukup bersih, maka amal ditangguhkan. Jika niat belum terasa benar-benar jernih, maka langkah dihentikan. Dalam keadaan tertentu, sikap ini mungkin lahir daripada keinginan untuk menjaga diri daripada riak. Namun dalam banyak keadaan lain, ia sebenarnya lahir daripada salah faham tentang hakikat ikhlas itu sendiri.

 Ikhlas bukan butan yang boleh ditekan

Ikhlas sering difahami sebagai satu keadaan dalaman yang mesti sempurna sebelum sesuatu amal dilakukan. Kita menunggu detik hati menjadi benar-benar tenang, benar-benar bebas daripada lintasan manusia, barulah kita berani bergerak. Masalahnya, hati manusia tidak pernah statik. Ia berubah-ubah, dipengaruhi rasa, pengalaman, pujian dan kritikan. Jika kita menunggu hati mencapai tahap yang benar-benar bersih, mungkin kita akan menunggu sepanjang hayat.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sering dipetik untuk menekankan kepentingan niat, tetapi jarang difahami sebagai dorongan untuk memulakan amal. Niat bukan alasan untuk menangguhkan perbuatan baik; niat ialah asas untuk menggerakkan perbuatan itu. Dalam banyak keadaan, niat diperbetulkan sepanjang perjalanan, bukan disempurnakan sepenuhnya sebelum langkah pertama diambil.

Menunggu ikhlas yang sempurna sebelum beramal atau memulakan sesuatu ibarat menunggu laut menjadi tenang sepenuhnya sebelum belayar. Kita mungkin tidak akan pernah berangkat.

Apabila manusia seolah-olah mengambil peranan tuhan

Ada satu bahaya yang lebih halus apabila kita terlalu obses mencari ikhlas sebelum bertindak. Kita seakan-akan mahu memastikan terlebih dahulu bahawa amal kita diterima, bahawa niat kita benar-benar tulen, sebelum kita melakukannya. Dalam erti tertentu, kita cuba mengukur dan menentukan sesuatu yang sebenarnya berada di luar wilayah kita.

Penilaian tentang keikhlasan adalah hak Allah. Hanya Dia yang mengetahui isi hati, lintasan niat, dan pergolakan batin yang paling tersembunyi. Apabila kita menangguhkan amal atau sesuatu tindakan atas alasan belum cukup ikhlas, kita secara tidak sedar meletakkan diri dalam posisi penilai — seolah-olah kita mampu menentukan sama ada amal atau tindakan itu layak dilakukan atau tidak berdasarkan ukuran batin yang kita sendiri tidak sepenuhnya fahami.

Lebih membimbangkan, sikap ini boleh membawa kepada satu bentuk kesombongan rohani yang halus. Kita merasakan bahawa hanya amal yang benar-benar ‘bersih’ menurut piawaian kita layak dilakukan. Sedangkan manusia sentiasa berada dalam proses belajar, sentiasa dalam keadaan tidak sempurna. Mengharapkan kesempurnaan sebelum beramal bukan sahaja tidak realistik, tetapi juga boleh menjadikan kita terhenti dalam kebaikan.

Kufur nikmat yang tidak disedari

Dalam masa yang sama, menangguhkan amal atau sesuatu perlakuan atas alasan belum cukup ikhlas boleh menjurus kepada satu bentuk kufur nikmat yang tidak kita sedari. Allah telah mengurniakan kita kemampuan, masa, harta, tenaga dan peluang untuk berbuat baik. Apabila peluang itu datang, tetapi kita memilih untuk tidak melaksanakannya kerana terlalu sibuk memeriksa tahap keikhlasan sendiri, kita sebenarnya sedang mensia-siakan nikmat tersebut.

Kufur nikmat bukan hanya dalam bentuk menolak nikmat secara terang-terangan. Ia juga boleh berlaku apabila kita tidak menggunakan nikmat untuk tujuan yang sepatutnya. Kemampuan untuk membantu orang lain, peluang untuk menyumbang, ruang untuk berkongsi ilmu — semuanya adalah amanah. Jika kita enggan bertindak kerana takut niat belum cukup sempurna, kita mungkin telah membiarkan nikmat itu berlalu tanpa dimanfaatkan.

Ramadan sepatutnya menyedarkan kita tentang nilai setiap peluang kecil untuk beramal. Setiap hari adalah ruang yang terhad. Setiap kesempatan mungkin tidak akan berulang. Jika kita menunggu sehingga hati terasa benar-benar suci sebelum melangkah, mungkin kita akan kehilangan saat yang Allah buka khusus untuk kita.

Perintah beramal dan proses meluruskan niat

Al-Quran menyebut: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya…” (Surah al-Bayyinah, 98:5)

Ayat ini tidak memerintahkan kita menunggu sehingga yakin sepenuhnya akan kesempurnaan niat. Ia memerintahkan kita untuk menyembah dan dalam proses itu mengikhlaskan ketaatan. Ini menunjukkan bahawa ikhlas bergerak seiring dengan amal. Ia dibina, diasah dan diperhalusi melalui perbuatan, bukan melalui penantian pasif.

Ramadan adalah sekolah untuk memahami hakikat ini. Kita berpuasa walaupun perasaan kita tidak sentiasa berada pada tahap yang sama. Ada hari kita merasai kelazatan ibadah, ada hari kita bergelut dengan keletihan dan gangguan fikiran. Namun kita tetap berpuasa kerana ia perintah. Dalam perjalanan itu, kita memohon agar Allah memperbaiki niat kita.

Begitu juga dengan amal lain. Kita bersedekah walaupun masih belajar melawan rasa ingin dipuji. Kita membantu walaupun hati belum sepenuhnya bebas daripada lintasan manusia. Kita terus melangkah, sambil berdoa agar Allah membersihkan apa yang kita sendiri tidak mampu bersihkan.

Mencari ikhlas, mencari Ramadan

Akhirnya, mencari ikhlas bukan bererti kita menunggu hati menjadi sempurna. Ia bererti kita berani beramal atau menerima sesuatu atau seseorang dalam keadaan sedar bahawa kita tidak sempurna. Kita tidak mengambil alih kerja Tuhan untuk menilai batin sendiri secara muktamad. Kita tidak mensia-siakan nikmat atas nama berhati-hati.

Ramadan mengajar bahawa tugas kita ialah berusaha dan taat. Soal penerimaan adalah urusan Allah. Dalam kesedaran itu, kita menjadi lebih rendah hati dan pada masa yang sama lebih berani melakukan kebaikan.

Mencari Ramadan bukan sekadar mencari suasana, bazar atau nostalgia masa kecil. Ia tentang mencari kembali kedudukan diri sebagai hamba — hamba yang beramal walaupun belum sempurna, yang memperbetulkan niat walaupun belum suci sepenuhnya, dan yang menyerahkan penilaian akhir kepada Tuhan.

Barangkali di situlah letaknya kebebasan yang sebenar. Kita tidak lagi terbelenggu oleh ketakutan terhadap persepsi manusia, dan tidak juga terperangkap dalam obsesi terhadap kesempurnaan diri. Kita bergerak kerana diperintah untuk bergerak, dan dalam gerakan itu kita memohon agar Allah menghadiahkan kita sesuatu yang tidak mampu kita hasilkan sendiri: keikhlasan.

Dan mungkin, dalam keberanian untuk beramal walaupun hati masih belajar, kita sebenarnya sedang menemukan Ramadan yang lebih dalam — Ramadan yang tidak hanya mengubah jadual makan, tetapi mengubah cara kita memahami hubungan antara usaha manusia dan rahsia Tuhan.

 

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.