
Pagi itu, ketika saya menumpang meja dalam sebuah warung kecil di pinggir ibu kota, suara seorang pemandu e-panggilan sudah lebih dahulu memenuhi ruang. “Minyak naik lagi…kerajaan tidur ke?” katanya. Cukup kuat untuk didengari beberapa meja. Tidak lama kemudian, ayat yang semakin biasa diulang pun muncul— “dulu kata bila jadi kerajaan, harga minyak turun…”
Menariknya, perbualan seperti ini hampir selalu berakhir di situ. Tiada siapa bertanya lebih jauh, tiada siapa cuba memahami lebih dalam. Kita seolah-olah sudah cukup dengan satu kesimpulan yang siap dibungkus—bahawa setiap kenaikan harga ada pelakunya, dan pelaku itu sentiasa sama. Dalam beberapa minit, kemarahan terbina, keyakinan terbentuk, dan ‘kebenaran’ seolah-olah telah diputuskan.
Masalahnya, dalam kita cepat ‘naik minyak’, kita jarang sedar bahawa yang paling cepat hilang ialah usaha untuk memahami. Kita tidak kekurangan reaksi—kita sebenarnya kekurangan kesabaran untuk berfikir.
Skrip lama yang tidak pernah berubah
Di Malaysia, setiap kali harga minyak naik, reaksi kita hampir seragam. Nada suara berubah, perbualan menjadi panas, dan akhirnya kita mencari pihak yang boleh dipersalahkan. Dalam banyak keadaan, jari itu terus menunjuk ke arah kerajaan. Ia menjadi semacam refleks kolektif—seolah-olah segala yang berlaku di pam minyak berada sepenuhnya dalam kawalan domestik.
Dalam keadaan emosi seperti ini, kita jarang berhenti untuk bertanya soalan yang lebih sukar: sejauh mana sebenarnya harga minyak berada dalam kawalan kita?
Ungkapan seperti “hari ini jadi kerajaan, esok harga minyak turun” masih hidup dalam ingatan ramai. Ia diulang, dikongsi, dan dijadikan ukuran yang mudah—seolah-olah boleh berdiri sendiri tanpa konteks. Namun, kita jarang kembali kepada saat ungkapan itu diucapkan. Setiap kenyataan politik lahir dalam keadaan tertentu—dengan data, tekanan dan realiti semasa yang mungkin sangat berbeza daripada hari ini. Dunia berubah, tetapi kita masih menilai dengan ukuran lama.
Dunia yang tidak lagi sama
Hakikatnya, harga minyak hari ini tidak lagi ditentukan semata-mata oleh dasar domestik. Ia bergantung kepada rangkaian faktor global yang kompleks—daripada pengeluaran negara pengeluar, turun naik permintaan dunia, hinggalah kepada ketegangan geopolitik yang boleh berubah dalam sekelip mata. Apabila berlaku ketidaktentuan di rantau seperti Teluk Parsi, pasaran minyak dunia akan bertindak balas dengan pantas. Laluan perdagangan terganggu, sentimen pelabur berubah, dan harga boleh melonjak tanpa amaran panjang.
Dalam keadaan seperti ini, mana-mana kerajaan akan berdepan tekanan yang sama. Malaysia hanyalah sebahagian kecil dalam sistem global yang saling terikat ini.
Namun begitu, dalam dunia yang sarat dengan maklumat hari ini, kita seolah-olah semakin kurang sabar untuk memahami. Kita membaca tajuk, bukan isi. Kita berkongsi petikan, tetapi tidak menyelami keseluruhan cerita. Lebih mudah mengulang kenyataan lama daripada mengkaji realiti semasa yang jauh lebih rumit. Dan dalam banyak keadaan, kita memilih untuk ‘buat-buat tidak tahu’—bukan kerana tidak mampu memahami, tetapi kerana enggan mencabar kepercayaan sendiri.
Bila pembangkang tidak mendidik
Dalam konteks ini, sikap sebahagian pembangkang juga tidak banyak membantu perkembangan minda politik negara. Kritikan sepatutnya menjadi alat untuk mencerdaskan rakyat—memberi konteks, membuka ruang kefahaman, dan mendorong perbincangan yang lebih matang. Namun apabila kritikan hanya berlegar pada pengulangan slogan lama tanpa usaha memahami realiti semasa, ia akhirnya membentuk budaya politik yang cetek.
Kita melahirkan lebih ramai ‘pembangkang’ yang lantang bersuara, tetapi kosong dari segi ilmu dan kefahaman. Mereka menentang, tetapi tidak memahami apa yang ditentang.
Lebih membimbangkan, budaya ini turut meresap ke dalam masyarakat umum. Politik tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk berfikir, tetapi sebagai ruang untuk melepaskan emosi. Setiap isu dilihat secara hitam putih—betul atau salah, kami atau mereka—tanpa kesediaan menerima bahawa banyak perkara berada di tengah-tengah. Akhirnya, kita bukan sahaja gagal memahami realiti, tetapi juga gagal membina kematangan politik sebagai sebuah masyarakat.
Antara harapan dan realiti
Ini bukan bermakna kerajaan tidak boleh dikritik. Dalam sistem demokrasi, kritikan adalah perlu. Rakyat berhak untuk bertanya, menilai dan menuntut yang terbaik. Tetapi kritikan yang baik memerlukan asas yang kukuh—iaitu kefahaman.
Tanpa kefahaman, kritikan hanya menjadi gema emosi yang berulang-ulang, tanpa membawa kita ke mana-mana. Kita mungkin merasa puas seketika, tetapi tidak menjadi lebih bijak dalam menilai keadaan sebenar.
Pada masa sama, kita juga perlu jujur bahawa pengurusan harga minyak bukan isu hitam putih. Ia melibatkan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kestabilan kewangan negara. Subsidi tidak boleh ditambah tanpa had, dan setiap keputusan membawa kesan jangka panjang yang perlu difikirkan dengan teliti. Kadang-kadang, pilihan yang ada bukan antara baik dan buruk, tetapi antara sukar dan lebih sukar.
Dalam keadaan seperti ini, kepimpinan diuji bukan melalui slogan, tetapi melalui keupayaan mengurus realiti yang tidak menentu.
Memahami sebelum menghukum
Pemandu e-panggilan itu akhirnya bangun, membayar, dan berlalu pergi. Hidupnya diteruskan seperti biasa—mengambil penumpang, mengira tambang, dan sesekali mengeluh apabila jarum minyak semakin turun. Mungkin dia akan terus mengulang ayat yang sama. Mungkin juga kita semua pernah, atau akan, melakukan perkara serupa.
Namun, sebagai masyarakat kita sebenarnya mempunyai pilihan—sama ada terus mengulang skrip lama, atau mula melihat dunia dengan lebih jujur dan terbuka.
Kerana dalam isu seperti harga minyak, kebenarannya jarang sekali mudah. Dan jika kita benar-benar ingin menjadi masyarakat yang matang, kita perlu belajar satu perkara yang semakin sukar hari ini—memahami sebelum menghukum.
Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.