PMX di persimpangan getir ketika krisis minyak gugat ruang politik

PMX di persimpangan getir ketika krisis minyak gugat ruang politik

Di sebalik tekanan politik dan ekonomi, Anwar Ibrahim kini berdepan ujian sebenar mengimbangi realiti fiskal dengan kelangsungan politik.

ANWAR IBRAHIM

Dalam politik masa adalah segalanya dan ketika ini masa tidak memihak kepada Anwar Ibrahim.

Beberapa bulan lalu, beliau menikmati ‘ruang bernafas’ dalam menerajui Putrajaya, sesuatu yang jarang berlaku dalam landskap politik Malaysia pasca PRU14. Kepengerusian Asean juga berjalan lancar, ekonomi mencatat pertumbuhan sekitar 6%, dan naratif kepimpinan mula stabil.

Namun, krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat mengubah segalanya. Pertikaian berlaku beribu-ribu kilometer menghimpit poket rakyat dan akaun fiskal negara. Harga minyak melonjak, kos subsidi meningkat mendadak dan ruang untuk berpolitik secara selesa semakin sempit.

Lebih rumit tekanan itu datang ketika kitaran politik semakin menghampiri dengan PRN Melaka, Johor dan Sarawak dikatakan bakal diadakan seawal hujung tahun ini. Ada juga cakap-cakap PRU boleh dipercepatkan seawal tahun depan.

Ini menjadikan setiap keputusan ekonomi bukan sahaja dinilai dari sudut dasar, tetapi kesannya terhadap sokongan politik. Jika diamati garis masanya, Anwar tidak mempunyai kemewahan untuk mengelak isu itu.

Krisis Iran dan kesannya terhadap harga minyak akan menjadi antara isu utama pilihan raya, sama ada beliau mahu atau tidak. Ia akan menjadi kayu ukur kepada keupayaan kepimpinannya dan berpotensi menjadi faktor penentu sama ada beliau memperoleh mandat untuk penggal kedua.

Pembangkang pula tidak menunggu. Mereka memanfaatkan isu ini sepenuhnya, menyerang secara konsisten dan menjadikan setiap kenaikan harga, pelarasan subsidi sebagai bahan politik untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Inilah realiti meletakkan Anwar antara dua tekanan yang saling bertentangan.

Menjelang pilihan raya, naluri biasa seorang pemimpin adalah untuk kekal popular. Menangguhkan keputusan sukar, mengekalkan subsidi dan memastikan rakyat tidak merasai kesan segera.

Tetapi di sisi lain, tekanan ekonomi tidak boleh ditangguh. Subsidi bahan api dianggarkan melonjak sehingga sekitar RM6 bilion sebulan, berbanding hanya RM700 juta sebelum ini, pilihan untuk ‘berbelanja demi populariti’ bukan lagi sekadar mahal sebaliknya berisiko.

Langkah seperti pelarasan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan dan kenaikan harga diesel mungkin tidak popular. Ia memberi kesan langsung kepada rakyat dan membuka ruang kritikan daripada pembangkang.

Tetapi di sinilah dilema sebenar.

Jika kerajaan terus mengekalkan subsidi pukal tanpa kawalan, tekanan fiskal akan memaksa pengorbanan di tempat lain. Ruang membantu golongan rentan melalui bantuan tunai, memperkukuh pendidikan, membaiki sekolah atau menambah baik sistem kesihatan akan semakin mengecil.

Namun, membuat keputusan betul dari sudut ekonomi tidak semestinya menjamin kelangsungan politik. Sejarah politik negara menunjukkan krisis boleh menjatuhkan pemimpin. Tetapi ia juga boleh membina legasi.

Ketika krisis kewangan Asia 1998, Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tidak konvensional yang pada awalnya dikritik, tetapi kemudian dilihat sebagai faktor pemulihan negara. Naratif kepimpinan beliau dibentuk semula melalui cara mengurus krisis, bukan mengelaknya.

Anwar kini berada di persimpangan yang hampir serupa walaupun dalam konteks berbeza.

Beliau tidak lagi dinilai semata-mata berdasarkan dasar pro rakyat atau retorik reformasi. Ukuran sebenar kini keupayaan membawa negara keluar daripada tekanan global yang rumit, sambil mengekalkan kestabilan domestik.

Cabaran lebih besar bukan pada pengumuman dasar, tetapi penerimaan awam. Rakyat mungkin memahami angka dan rasional tetapi mereka merasai kesan secara langsung.

Dalam keadaan ini, komunikasi menjadi sama penting dengan dasar itu sendiri. Tanpa keyakinan, langkah betul boleh dilihat sebagai beban tidak perlu.

Dan di sinilah risiko politiknya paling nyata.

Jika kerajaan gagal mengawal persepsi, Anwar akan mudah dilihat sebagai pemimpin meminta rakyat menanggung beban ketika krisis global memuncak. Tetapi jika beliau berjaya membuktikan langkah sukar hari ini mampu mengelakkan kerosakan yang lebih besar, maka naratif itu boleh berubah sepenuhnya.

Bezanya terletak pada pelaksanaan, disiplin dan keupayaan mengawal naratif.

Pilihan yang ada bukan antara popular atau tidak popular. Ia antara jangka pendek dan tempoh panjang.

Dan ketika itulah Anwar kini berdiri, di persimpangan paling getir antara memilih disiplin fiskal dan kelangsungan politiknya sendiri.

Buat masa ini, Anwar memilih jalan lebih sukar yang mungkin membina keteguhan legasi dan memanfaatkan rakyat pada masa depan.

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.