Jangan tunggang krisis Iran demi kepentingan politik

Jangan tunggang krisis Iran demi kepentingan politik

Krisis Iran dan ketidaktentuan global menuntut disiplin fiskal, bukan permainan politik yang akhirnya merugikan rakyat.

malaysia citizen orang awam

Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan belanjawan bukanlah satu pilihan yang mudah, tetapi satu keperluan bertanggungjawab.

Krisis bekalan global yang berlarutan, didorong ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan menuntut pendekatan yang lebih berhemah, berdisiplin serta berpandangan jauh.

Hari ini, kita berdepan realiti kestabilan ekonomi tidak lagi boleh bergantung kepada andaian jangka pendek. Konflik yang berpanjangan di pelbagai rantau, serta ketidaktentuan dasar global termasuk daripada kepimpinan seperti Donald Trump dan sekutunya Israel, telah mencetuskan gelombang ketidaktentuan yang memberi kesan langsung kepada harga tenaga, kos logistik dan bekalan makanan dunia.

Dalam konteks ini, pelarasan belanjawan oleh Kementerian Kewangan harus dilihat sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh daya tahan negara. Perbelanjaan perlu difokuskan kepada perkara yang benar-benar penting seperti memastikan bekalan asas kekal stabil, melindungi golongan rentan, serta mengekalkan keupayaan fiskal negara untuk bertindak jika keadaan bertambah buruk.

Namun, amat dikesalkan apabila masih ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini. Dalam keadaan krisis yang mencabar ini, permainan politik yang sempit tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat mahupun negara.

Hentikanlah polemik yang tidak membina. Tumpuan kita seharusnya sepenuhnya kepada langkah-langkah yang bijaksana dan berani untuk mengurus krisis ini dengan berkesan.

Hakikatnya, kerajaan tidak boleh terus berbelanja seperti dalam keadaan biasa. Anggaran subsidi bahan api yang mencecah sekitar RM7 bilion sebulan bukanlah sesuatu yang boleh ditanggung tanpa had.

Jika krisis itu berlanjutan seperti konflik Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga, persoalan besar timbul — mampukah negara menanggung beban tersebut untuk tempoh yang panjang tanpa menjejaskan kedudukan kewangan dan masa depan ekonomi?

Di sinilah pentingnya disiplin dalam pengurusan kewangan negara. Berjimat cermat bukan bererti mengabaikan kebajikan rakyat, tetapi memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan impak maksimum.

Jika penjimatan perlu dilakukan, maka ia harus dilaksanakan dengan segera dan berani. Ini termasuk mengutamakan perbelanjaan yang mempunyai kesan pengganda kepada ekonomi, serta memperkukuh sektor-sektor kritikal yang menyokong kestabilan bekalan negara.

Rakyat Malaysia secara umumnya memahami hakikat ini. Kita telah melalui pelbagai krisis sebelum ini—daripada krisis kewangan Asia hinggalah pandemik global.

Dalam setiap episod, kekuatan kita terletak pada keupayaan untuk bersatu, beradaptasi dan membuat keputusan yang sukar demi kebaikan jangka panjang.

Dalam suasana yang amat tidak menentu ini, kita juga perlu mensyukuri bahawa Malaysia masih berada dalam keadaan yang relatif stabil.

Kestabilan ini bukan sesuatu yang datang dengan sendiri, tetapi hasil daripada pengurusan ekonomi yang berhemah dan dasar yang konsisten. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankannya bagi jangka masa panjang.

Tiada gunanya mempertahankan kesejahteraan secara sementara jika ia mengorbankan kestabilan masa depan. Janganlah kita berfikiran sempit sehingga gagal melihat gambaran yang lebih besar.

Keutamaan hari ini adalah memastikan negara mempunyai ketahanan untuk menghadapi krisis yang mungkin berlarutan. Ini memerlukan keberanian politik, disiplin ekonomi, dan sokongan rakyat.

Akhirnya, pelarasan belanjawan ini bukan sekadar soal angka. Ia adalah tentang memastikan Malaysia kekal stabil, berdaya tahan dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam landskap global yang semakin mencabar.

 

Shazali Shukor adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.