Kerajaan belanja RM1.7 bilion perangi Covid-19, kata Tengku Zafrul

Kerajaan belanja RM1.7 bilion perangi Covid-19, kata Tengku Zafrul

Daripada jumlah itu RM1 bilion diperuntukkan kepada KKM, RM250 juta kepada NADMA dan RM247 juta kepada KDN.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan tidak teragak-agak menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu berbuat demikian terutama bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan. (Gambar Bernama).
PETALING JAYA:
Sebanyak RM1.7 bilion dibelanjakan kerajaan dalam usaha memerangi penularan Covid-19 di seluruh negara, yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kerajaan tidak teragak-agak menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutama bagi memenuhi keperluan ‘frontliners’ atau petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di saat gelombang terbaru Covid-19 melanda Sabah, Putrajaya melalui KKM, sudah menyalurkan peruntukan tambahan RM44 juta untuk mengukuhkan lagi barisan hadapan kesihatan di peringkat negeri itu.

“Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan, dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan atau ventilators,” katanya.

Katanya, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga sudah meluluskan peruntukan tambahan RM50 juta kepada NADMA untuk menyokong usaha menangani penularan wabak tersebut.

“Kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul turut memaklumkan sejak Februari kerajaan menerima sejumlah RM44.7 juta dalam bentuk derma disumbangkan ke Tabung Covid-19 KKM, hasil pemberian individu, perniagaan dan pelbagai organisasi.

“Dana ini hanya untuk kegunaan memerangi wabak Covid- 19 dan setakat ini, sebanyak RM33.1 juta sudah digunakan untuk pembelian PPE dan kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, Tabung Covid-19 KKM diaktifkan semula pada 16 Oktober lalu, atas permintaan pelbagai pihak yang ingin membuat sumbangan tunai susulan peningkatan kes jangkitan baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.