Sabah sedia kerjasama dengan pembangkang, NGO agih bakul makanan

Sabah sedia kerjasama dengan pembangkang, NGO agih bakul makanan

Shahelmey Yahya berkata, sekarang bukan masa untuk berpolitik atau berlumba-lumba menonjol di media sosial berhubung siapa yang memberi bantuan kerana keutamaan ialah rakyat.

Shahelmey Yahya (3 dari kanan) meninjau persediaan agihan bakul makanan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan NGO dan mana-mana parti politik, termasuk pembangkang untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Beliau menghargai keprihatinan pihak lain, selain kerajaan, yang turut sama menyampaikan bakul makanan kepada golongan terjejas.

“Kita sedia bekerjasama dengan mereka, termasuk dari segi penyelarasan,” katanya selepas meninjau persediaan agihan bakul makanan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu hari ini.

“Sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik, kita tidak perlu berlumba-lumba di media sosial siapa yang beri bantuan kerana kita bukanlah mahu jadi ‘hero’ bantuan, keutamaan kita adalah rakyat, khususnya yang terjejas.”

Shahelmey berkata, kementeriannya mengagihkan kira-kira 57,000 bakul makanan kepada penduduk terjejas setakat ini.

“Pengagihan ini terbahagi kepada 2 kriteria, iaitu semua isi rumah di kawasan yang diisytiharkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersyarat (PKPDB) dan juga keluarga yang dikuarantin.

“Agihan bakul makanan ini juga akan berterusan kerana sasaran kami adalah sasaran bergerak, berikutan mereka yang dikuarantin bertambah setiap hari.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.