Lelaki larikan MPV polis demi menunjuk pada teman wanita

Lelaki larikan MPV polis demi menunjuk pada teman wanita

Polis berkata, MPV yang dilarikan dari Pulau Pinang itu dikesan di Shah Alam dan polis menahan seorang suspek lelaki bersama seorang wanita, dipercayai teman wanitanya dalam kenderaan itu.

Polis menahan seorang daripada 2 beradik yang melarikan sebuah kereta peronda, selepas mendakwa mereka ialah anggota polis dari bahagian sumber teknologi maklumat untuk memeriksa kamera dalam MPV itu. (Gambar Bernama)
KEPALA BATAS:
Polis menahan 2 beradik dan seorang wanita yang dipercayai terbabit melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini malam tadi, selepas kenderaan itu ditemui di Shah Alam, Selangor, awal pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku sekitar 9.15 malam apabila 2 lelaki berumur 28 dan 32 tahun datang ke bahagian kenderaan dan mendakwa mereka ialah anggota polis dari bahagian sumber teknologi maklumat untuk memeriksa kamera (dashcam) dalam MPV itu.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan suspek terus memecut MPV keluar dari perkarangan IPD SPU sebelum penyelia bahagian kenderaan itu sempat berbuat apa-apa dan dia juga tidak mengesyaki apa-apa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, penyelia itu (berpangkat sarjan) hanya menyedari MPV itu dilarikan setengah jam kemudian apabila suspek tidak kembali ke IPD dan kenderaan itu gagal dihubungi.

Kenderaan itu dikesan di Shah Alam, Selangor beberapa jam kemudian dan polis berjaya menahan seorang suspek lelaki serta seorang wanita berusia 20-an, dipercayai teman wanitanya yang berada di dalam kenderaan itu.

Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki, iaitu adik kepada suspek pertama di Tasek Gelugor awal pagi tadi.

“Siasatan mendapati suspek pada mulanya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor dan pasangan kekasih itu dipercayai cuba menyamun sebuah kedai runcit, sebelum memandu ke Shah Alam. Difahamkan, dia bertindak sedemikian (curi kenderaan) kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya.”

Katanya, siasatan polis mendapati suspek utama itu pernah ditahan 15 Okt lalu kerana mencuri kabel elektrik, malah dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata, adik-beradik itu ialah penagih dadah tegar dan siasatan awal mendapati suspek utama yang melarikan MPV itu mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.