21 saksi beri keterangan nahas helikopter

21 saksi beri keterangan nahas helikopter

Isnin lalu bahagian forensik Bukit Aman ke hangar Sistematic Aviation Services (SAS) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, membuat pemeriksaan lanjut ke atas bangkai helikopter.

Nahas udara pada Ahad lalu mengorbankan 2 nyawa.
KUALA LUMPUR:
Polis sudah merakam keterangan 21 saksi bagi membantu siasatan kejadian helikopter terhempas di Taman Melawati Ahad lalu, kata Ketua Polis Ampang Jaya Mohamed Farouk Eshak.

Beliau berkata, Isnin lepas pula sepasukan polis daripada bahagian forensik Bukit Aman ke hangar Sistematic Aviation Services (SAS) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas bangkai helikopter yang terhempas.

Menurutnya, ia merupakan proses bagi melengkapkan siasatan laporan kematian mengejut mangsa nahas itu, dan beliau seterusnya menasihatkan orang ramai tidak mengedar video atau gambar berkaitan insiden itu di media sosial, bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta mengganggu siasatan.

“Polis Ampang Jaya juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan atau menghubungi 03 42897343 atau 03 42897344 bagi menyalurkan maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nahas udara itu melibatkan 2 helikopter jenis G2CA (9M-HCA and 9MHCB) yang dipercayai sedang menjalani latihan penerbangan ketika berlanggar di udara selepas berlepas dari LTSAAS dengan setiap pesawat membawa 2 orang.

Sekitar tengah hari Ahad, sebuah daripada helikopter itu terhempas dan meragut nyawa bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56, dan ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.

Dua mangsa terselamat ialah bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Berhad Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi pesawat selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di padang sebuah sekolah di Taman Melawati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.