
Jad Faid Arhan didakwa membunuh Muzahid Millad di KM1.9 Lebuhraya Maju (MEX), dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, pada 23 April.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati atau penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang 12 sebatan rotan.
Tertuduh memaklumkan kepada mahkamah dia memahami pertuduhan bunuh dibacakan ke atasnya.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Di mahkamah berasingan, Jad turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmin Tuan Roslan atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang pemandu kereta, Jailani Sapih, 40, dan penumpangnya, Nafisa Tabassum Adiba, 20, di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Tg Syazwany menetapkan 21 Julai untuk pengurusan kes.
Peguam Nazreen Jaafar Abdullah mewakili Jad manakala timbalan pendakwa raya Nordin Ismail hadir bagi pihak pendakwaan di kedua-dua mahkamah.