JDT tidak dapat ke Doha minggu depan, sempadan masih ditutup

JDT tidak dapat ke Doha minggu depan, sempadan masih ditutup

Dasar ketika ini tidak membenarkan warga asing masuk dan rakyat tidak dibenarkan keluar negara.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan skuad Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (JDT) tidak dibenarkan keluar negara ke Doha, Qatar minggu depan bagi meneruskan saingan Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL).

Keputusan ini selaras dasar kerajaan menutup pintu sempadan, yang tidak membenarkan warga asing masuk dan rakyat tidak dibenarkan keluar negara.

“Termasuk pemain bola sepak,” katanya pada sidang media, dan menambah apa pun SOP di Qatar, dasar negara mengatasinya.

“Menteri pertahanan yang mempunyai banyak persidangan penting (pun) tidak dapat dilakukan kerana menteri juga tidak dibenarkan keluar negara.”

JDT merupakan satu-satunya kelab bolak sepak negara yang bertanding di pentas ACL. JDT sepatutnya beraksi dalam saingan ACL bagi Zon Timur yang diadakan secara berpusat di Doha dari 18 Nov hingga 13 Dis.

Pasukan berkenaan ketika ini masih mempunyai baki 4 perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 Nov, Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 25 Nov, Vissel Kobe (Jepun) 1 Dis dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande 4 Dis.

Sementara itu, Ismail turut melaporkan polis menahan 536 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP PKP dan daripada jumlah itu, seramai 527 individu dikompaun manakala 8 direman dan 1 individu pula dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), tidak memakai pelitup muka (134), premis gagal menyediakan perlataan atau merekod butiran pelanggan (107).

“Manakala, rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti pusat hiburan (8) dan lain-lain (57,” katanya.

Menerusi Op Bentang, pasukan penguatkuasa berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin dan 5 penyeludup serta berjaya merampas 6 kenderaan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.