
Selepas kisah keluarga pemungut sampah Rosman Darus, 47, dan penjual ayam, Suzanna Mansor, 37, disiarkan FMT Mei lalu, mereka diberikan reban ayam dan rumah baru, manakala Rosman mendapat jawatan lebih baik dalam pekerjaan.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Rosman terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler semasa pulang dari kerja 2 minggu lalu yang menyebabkan tempurung lututnya retak, tulang selangka dan 3 bahagian kakinya patah.
Satu-satunya motosikal keluarga itu juga musnah.

“Dia dalam perjalanan pulang dari kerja dengan membawa makan tengah hari untuk kami. Saya terkejut apabila dihubungi orang asing yang memberitahu dia terbaring atas jalan tanpa bergerak dengan makanan kami bertaburan merata-rata,” kata Suzanna kepada FMT ketika ditemui di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.
Semasa wawancara itu diadakan, Rosman kedengaran mengerang kesakitan dalam tidur. Suzanna berkata, ubat hospital sudah habis dan beliau tiada pengangkutan untuk mendapatkan ubat baru.
Katanya, seorang rakan menghantarnya ke farmasi berdekatan untuk membeli ubat penahan sakit berharga RM12 sepapan.

“Kita macam burung, baru nak angkat sayap terbang dah macam ni. Allah taala saja tahu dugaan kami.”
Selepas FMT melaporkan kisah keluarganya, Jabatan Pertanian negeri membina sebuah reban ayam dalam projek perintis untuk Suzanna menternak ayamnya sendiri. Beliau turut dijanjikan kira-kira 100 ekor anak ayam akan dibekalkan tidak lama lagi.
Tenaga Nasional Berhad pula akan membina rumah baru untuk mereka. Rumah lama mereka yang usang dirobohkan 2 minggu lalu dan sebuah pondok sementara dibina untuk mereka tinggal ketika ini.
Rosman, yang merupakan pemungut sampah sebelum ini, mendapat pekerjaan baru memandu lori sampah kira-kira 2 bulan lalu, dengan gajinya dinaikkan RM100 kepada RM1,300 sebulan.

Semasa menunggu anak ayam memenuhi rebannya, Suzanna meraih kira-kira RM70 sebulan, hasil jualan ketam segar dari kampung ke kampung, yang diperolehi daripada seorang peniaga, dengan membawa 2 anaknya bersama menaiki motosikalnya.
Katanya, beliau meminjam motosikal daripada rakan dan keluarga untuk menjual ketam segar dan barang lain seperti biasa. Impiannya ialah memiliki sebuah basikal dilengkapi kereta sorong bagi mengangkut ayam hidup dan membawa anak bersamanya.
Suzanna berkata, Rosman dibenarkan keluar hospital 4 hari selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang. Beliau enggan terus tinggal di wad dan mahu pulang ke rumah secepat mungkin.

“Saya harap ada orang boleh membantu meringankan kesakitan suami saya dan membantu saya kembali bekerja.”
Beliau berkata, beberapa bekas dan wakil rakyat sedia ada pernah memberikan barang keperluan, dengan 2 daripadanya turut memberi kira-kira RM50 setiap seorang, yang menurutnya digunakan untuk membeli ubat penahan sakit, pembalut dan barang keperluan lain seperti lampin dewasa untuk suaminya.
Beliau turut menerima bantuan tunai RM200 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Suzanna berkata, dengan kebanyakan wang digunakan untuk rawatan suaminya, beliau hanya dapat memasak mi segera untuk keluarganya.
Peti sejuk lamanya dan penyejuk beku aiskrim yang dikutip dari tapak pelupusan oleh suaminya tidak boleh digunakan lagi, menyebabkan beliau tiada tempat menyimpan makanan segar.