
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata pengumuman sama ada sambung atau sebaliknya akan dibuat selepas mendapat maklumat penilaian risiko jangkitan dari Kementerian Kesihatan (KKM).
“Akan saya umumkan selepas mendapat maklumbalas dari KKM,” katanya.
“Biasanya beberapa hari sebelum tamat tempoh, KKM akan menasihati mesyuarat khas MKN dan saya akan umum (lanjut atau tamat). Kalau tempoh PKPB tamat 6 Dis (Ahad), saya percaya Jumaat akan saya umum.
”Kita akan umum lebih awal supaya semua pihak lebih bersedia dan memudahkan pergerakan orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan PKPB selama empat minggu sehingga 6 Dis di beberapa negeri, termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan polis semalam menahan 741 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dengan mereka yang menghadiri aktiviti hiburan paling ramai.
“Daripada jumlah itu, 720 individu dikenakan kompaun, manakala 21 direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP, termasuk aktiviti pusat hiburan (301), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (202), tidak memakai pelitup muka (93), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (82), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (41) dan lain-lain (22),” katanya,